GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menetapkan 8 Ogos depan sebagai tarikh keputusan kes melibatkan seorang wanita yang berdepan pertuduhan membunuh anaknya sendiri (infantisid) selepas membuang bayi perempuan itu dari tingkap apartmen, lima tahun lalu.
Tertuduh, M Santhiea yang kini berusia 23 tahun, sebelum ini mengaku bersalah ketika dihadapkan di mahkamah tersebut atas pertuduhan berkenaan pada 2020 iaitu sewaktu dia berusia 18 tahun.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif atas faktor keadaan mentalnya selepas bersalin dan berdasarkan keterangan beberapa saksi ketika itu.
Mengikut pertuduhan baharu di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan, seorang wanita boleh disabitkan kesalahan infantisid jika menyebabkan kematian anak yang baru dilahirkan kerana mengalami gangguan fikiran akibat belum pulih sepenuhnya daripada proses bersalin. Sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda.
Terdahulu, ketika prosiding, Hakim Rofiah Mohamad berkata, mahkamah memerlukan masa untuk mempertimbangkan hukuman terhadap tertuduh selepas meneliti laporan sosial yang dikemukakan pegawai perintah khidmat masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Timur Laut dan hujah serta rayuan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.
Prosiding kes hari ini juga ditangguh sebentar selepas tertuduh dilihat menangis serta menggigil ketika proses pengecaman gambar dan barang-barang kes seperti baju serta selimut dilakukan.
Peguam bela, R.S.N. Rayer yang mewakili Santhiea kemudian turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan tempoh tahanan reman selama empat bulan di penjara sebagai faktor mitigasi dalam hukuman yang bakal dijatuhkan.
“Anak guam saya mengalami masalah kemurungan teruk (major depressive disorder) akibat kejadian ini. Dia turut cuba membunuh diri kerana tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan ibu bapanya yang selama ini memberi sepenuh kasih sayang dan didikan sempurna,” katanya yang turut memohon mahkamah untuk mempertimbangkan bon berkelakuan baik terhadap anak guamnya itu.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiah Dahalaan berkata, mahkamah diminta mempertimbangkan kepentingan awam dan mesej kepada masyarakat dalam menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh kerana ketika kejadian, tertuduh dilaporkan membalut bayi perempuan itu dengan sehelai baju-T sebelum membuangnya keluar dari tingkap rumah.
Berdasarkan fakta kes, Santhiea didakwa membunuh bayi perempuannya di Apartmen Sri Ivory, Bandar Baru Air Itam pada jam 8.25 pagi, 10 Julai 2020.
Pertuduhan ketika itu dibuat ketika dia sedang dirawat di wad bersalin Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat kehilangan darah yang serius serta komplikasi selepas melahirkan anak. – UTUSAN







