Veteran peneroka terkenang ‘buku 555’, gaji hanya RM2.90 sehari

Veteran peneroka terkenang ‘buku 555’, gaji hanya RM2.90 sehari

MD. Nen Kasim menunjukkan Pingat Emas Semai Felda pertama yang diterima sebagai pengiktirafan jasanya dalam mengangkat kegemilangan Felda di mata dunia. – MINGGUAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: “Saya rindu kawan-kawan seperjuangan yang ramai telah pergi menyahut panggilan Ilahi,” demikian luahan Md. Nen Kasim, 84, peneroka veteran yang kini terlantar uzur di rumahnya di Felda Anggerik Jengka 1 dekat sini.

Meskipun kesihatan tidak lagi mengizinkan, ingatannya terhadap perjuangan awal membuka tanah rancangan Felda kekal segar yang menjadi sumber kekuatannya mengenang sejarah panjang kegemilangan orang Melayu melalui Felda.

Md. Nen ialah antara Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felda terawal dan tokoh peneroka pertama yang dianugerahkan Pingat Emas Semai Felda pada 7 Julai 1977, iaitu pengiktirafan tertinggi atas jasa membina asas kemajuan Felda.

Pada penghujung 1970, beliau menyertai rombongan misi penting ke England dan Belanda bersama empat lagi ALP Felda iaitu Datuk Zainal Hasan, Mahmud Sarjono, Walid Makrifat dan Yeop Mahidin, diketuai oleh Allahyarham Yeop Mahidin Mohd. Sharif dalam usaha mempertahan maruah minyak sawit negara yang ketika itu diasak dengan kempen negatif minyak kacang soya.

“Saya sangat bangga terpilih ke Eropah. Kami pertahan minyak sawit di bumi asing. Hari ini, ia jadi tunjang ekonomi negara,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Md. Nen yang merupakan satu-satunya anggota rombongan itu yang masih hidup berkata, jasa yang ditaburkan mungkin tidak seberapa, namun gene­rasi baharu wajar mengenang pengor­banan orang lama kerana kemajuan Felda hari ini bukan datang bergolek.

“Lihatlah bagaimana cara kita kenang tokoh seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Terlalu lewat kita menghargai. Jangan biar nasib tokoh Felda jadi begitu,” katanya.

Kenangan paling manis baginya adalah ketika menerima Pingat Emas Semai Felda yang kemudiannya disusuli satu lagi pingat emas pada 1979, sebagai simbol ikhlas bakti dan tanda pengiktirafan atas perjuangan peneroka.

Baginya, Felda bukan semata-mata projek pembangunan luar bandar, sebaliknya satu legasi kebangkitan orang Melayu yang perlu dihargai oleh setiap pewaris tanah rancangan.

“Saya masih simpan buku 555. Dulu gaji cuma RM2.90 sehari tetapi dengan itu lah kami beli beras, sardin dan susu. Syu­kur, hidup kami sederhana tetapi berkat,” katanya sambil mengesat air mata mengenang rakan-rakan seperjuangan yang telah pergi.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada kerajaan, Felda dan pemimpin terdahulu yang ba­nyak membimbing peneroka sepertinya keluar daripada be­leng­gu kemiskinan dan membi­na kehidupan yang lebih terjamin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN