KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) tidak mahu melangkaui ‘aturan’ sama ada pembangkang akan membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau sebaliknya.
Menjelaskan perkara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara tersebut bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.
Sebelum ini juga, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengemukakan usul kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen berhubung kenyataan mengenai Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isu Pulau Batu Puteh.
“Bila kita hendak buat sesuatu, kita sudah ada step (langkahnya). Pertamanya kita sudah buat untuk bawa YB (Yang Berhormat) Tambun (Anwar) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
“Kita hendak tengok respon Speaker. Selepas itu, baru kita bawa satu lagi (usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri). Tak boleh melangkaui ini sebab kita hendak buat itu dulu,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen, hari ini.
Sebelum ini, PN memberi bayangan akan menghantar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata usul itu akan dipertimbang untuk dihantar kepada Johari dalam masa terdekat.
Minggu lalu, Anwar mencabar Hamzah untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya kerana sudah menunggu tiga tahun ia dibawa ke Parlimen. – UTUSAN










