KUALA LUMPUR: Meneruskan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar, LUSH Malaysia dengan kerjasama PULIHARA Malaysia, menjalin Kerjasama menerusi dana inisiatif Charity Pot, dalam usaha melindungi penyu laut yang semakin terancam di Pantai Chakar Hutan, Kerteh, Terengganu baru-baru ini.
Kerjasama ini memberi fokus kepada pemuliharaan penyu agar, spesies ikonik di Pantai Timur yang kini berdepan ancaman akibat pencemaran, gangguan habitat dan pemburuan haram.
Dalam projek dua hari itu, pasukan LUSH Malaysia berganding bahu dengan aktivis dan sukarelawan tempatan menjalankan aktiviti perlindungan sarang, pemindahan telur serta pelepasan anak penyu.
Lebih istimewa, mereka berpeluang menyaksikan sendiri momen menyentuh hati apabila anak penyu menetas dan meluncur masuk ke laut, detik yang memperkukuh kesedaran tentang pentingnya menjaga keseimbangan biodiversiti laut.
Aktiviti pembersihan pantai di kawasan Chakar Hutan, turut diadakan dengan sebanyak 97 kilogram sisa berjaya dikutip dalam masa kurang sejam, cukup untuk menterjemahakan beban pencemaran yang dihadapi habitat marin.
Melalui sokongan pelanggan dan dana Charity Pot, LUSH turut mengambil 10 sarang penyu agar sebagai ‘anak angkat’ dan hasilnya, sebanyak 883 ekor anak penyu berjaya dilepaskan ke laut, termasuk satu sarang dinamakan Twilight Nest yang mencatat kadar penetasan 100 peratus, suatu pencapaian luar biasa.
Pengarah LUSH Malaysia, Dr Harvinder Harchand, berkata, setiap anak penyu yang dilepaskan dan setiap cebisan sampah dikutip mewakili harapan untuk laut yang lebih sihat.
Katanya, usaha melindungi spesies terancam seperti penyu agar bukan sahaja penting untuk kesihatan lautan, malah ia juga membantu mengekalkan kepelbagaian bio yang menyokong semua kehidupan di bumi.
“Inisiatif ini menjadi bukti bahawa tindakan kecil mampu membawa perubahan besar. Kami menyeru lebih banyak pihak menyertai gerakan menyelamatkan biodiversiti marin seperti penyu,” katanya.
Usaha ini tidak terhenti di situ, sebaliknya ia akan program pemuliharaan tempatan melalui program baharu bersama Turtle Conservation Society of Malaysia (TCS) yang memberi tumpuan kepada tuntung sungai terancam akan diperluaskan pada masa akan datang. – UTUSAN










