Sokongan Pas tidak jamin kerjasama dengan UMNO

Sokongan Pas tidak jamin kerjasama dengan UMNO

AHMAD Zahid Hamidi ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Cina di Medan Selera Tangkak Jaya, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Sokongan Pas terhadap Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 tidak akan mempengaruhi kerjasama yang akan terjalin selepas 11 Julai ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya menghargai sokongan daripada kepimpinan Pas, bagaimanapun sokongan dari parti itu tidak akan mempengaruhi hala tuju BN dan UMNO selepas 11 Julai ini.

“Kita tidak merasakan bahawa sokongan itu akan mempengaruhi kerjasama yang akan atau telah dibuat oleh UMNO khususnya dengan Pas.

“Kita menghormati pendirian mereka dan kita harap sokongan itu benar-benar menjadi kenyataan. Kita lihat di dalam kertas undi yang akan dibuka 11 Julai ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Cina di Medan Selera Tangkak Jaya, di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan menggesa ahli serta penyokong PAS supaya tidak mengundi calon Pakatan Harapan (PH) di kawasan yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).

Pas turut dilaporkan memberi arahan kepada ahli dan penyokongnya supaya mengundi calon BN bukan Melayu daripada MCA dan MIC.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, gelombang pengundi Cina kini berpihak kepada BN.

“Kami telah membuat kajian mengikut sambutan pengundi-pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan saluran, kami amat sukacita kerana gelombang sokongan pengundi-pengundi Cina kepada calon-calon BN bertambah.

“Kita memang meletakkan calon-calon underdog di kawasan-kawasan yang mempunyai banyak pengundi Cina,” katanya.

Beliau berkata, gelombang itu berpunca dari kekecewaan terhadap wakil-wakil rakyat terdahulu daripada parti lain.

“Tetapi oleh kerana mereka telah melihat bahawa wakil-wakil mereka yang dahulu tidak memperlihatkan prestasi yang baik berbanding dengan harapan yang mereka letakkan.

“Jadi mereka memberitahu saya ‘ini kalilah’. Ini tanda kepercayaan diberikan kepada calon-calon bukan UMNO iaitu MCA dan MIC untuk turut diberi tempat di 19 Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN