Tuduhan 27 peratus pelajar antarabangsa di UA tidak berasas

Tuduhan 27 peratus pelajar antarabangsa di UA tidak berasas

AMMAR ATAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Harapan (AMH) menggesa Exco Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas, Dr. Haim Hilman Abdullah, memohon maaf berhubung kenyataannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah baru-baru ini.

Ketua Penerangan AMH, Ammar Atan berkata, dakwaan Haim yang mendakwa 27 peratus pelajar di lima universiti awam (UA) terkemuka negara terdiri daripada bukan warganegara bukan sahaja tidak benar, malah dilihat cuba memainkan sentimen seolah-olah pelajar tempatan dipinggirkan di institusi pengajian tinggi awam negara.

“Dakwaan kononnya 27 peratus pelajar di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) terdiri daripada pelajar antarabangsa adalah tidak tepat.

“Data rasmi menunjukkan, pada tahun 2024, pelajar antarabangsa hanya membentuk 21 peratus daripada jumlah keseluruhan 180,024 pelajar di lima universiti tersebut, iaitu seramai 38,388 orang, jauh lebih rendah daripada angka 27 peratus yang didakwa beliau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ammar, peratusan tersebut juga tidak jauh berbeza dengan tahun 2022 ketika Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan yang mencatatkan lebih 17 peratus pelajar antarabangsa di universiti sama.

“Lebih menghairankan, ketika itu Haim memegang jawatan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), namun tidak pula menyuarakan sebarang kebimbangan mengenai isu ini,” katanya.

Beliau berkata, bilangan pelajar antarabangsa yang lebih tinggi di universiti penyelidikan seperti UM, UKM, USM, UTM dan UPM tidak sepatutnya dipolemikkan kerana kebanyakannya melibatkan pengajian di peringkat pascasiswazah.

“Data kerajaan menunjukkan hampir 74 peratus pelajar antarabangsa di universiti awam berada di peringkat sarjana dan PhD yang berteraskan penyelidikan.

“Ini membuktikan peluang pendidikan di peringkat sarjana muda untuk anak tempatan kekal terpelihara,” katanya.

Ammar berkata, data rasmi juga membuktikan universiti awam terus mengutamakan pelajar tempatan, khususnya daripada golongan berpendapatan rendah.

“Pada tahun 2024, lebih 108,000 pelajar atau 60 peratus daripada pelajar di lima universiti teratas adalah daripada kelompok B40,” jelasnya.

Beliau menambah, kehadiran pelajar antarabangsa sekitar 20 peratus bukanlah isu besar, sebaliknya membawa pelbagai manfaat seperti meningkatkan persaingan sihat, mengukuhkan jaringan global, serta menggalakkan pertukaran budaya dan idea.

“Pengantarabangsaan universiti juga membantu menaikkan ranking global. UM, misalnya, kini berada di tangga ke-58 QS World University Rankings 2026, dan salah satu faktor penyumbang ialah peratusan pelajar antarabangsa. 

“Adalah pelik apabila seorang bekas Naib Canselor seperti Haim tidak memahami fakta dan data ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN