Angkatan Muda Harapan gesa Menteri, Timbalan Menteri BN letak jawatan

Angkatan Muda Harapan gesa Menteri, Timbalan Menteri BN letak jawatan

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Muda Harapan (AMH) menggesa semua Menteri dan Timbalan Menteri dari Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan jawatan daripada kabinet susulan perkembangan politik terkini yang menyaksikan BN secara terbuka mengadakan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Johor dan Negeri Sembilan.

AMH berkata, tindakan BN yang sanggup bekerjasama dengan PN secara terbuka merupakan bukti jelas bahawa parti itu tidak menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Perpaduan, malahan mereka lebih cenderung kepada percaturan politik sempit demi kepentingan jangka pendek.

Katanya, kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan kerjasama BN-PN bukan sekadar strategi sementara, sebaliknya berpotensi membentuk jajaran politik baharu menjelang PRU16 serta menimbulkan persoalan terhadap komitmen BN dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sehubungan itu, AMH menggesa semua Menteri dan Timbalan Menteri daripada BN meletakkan jawatan dengan kadar segera, agar BN dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha mengukuhkan kerjasama politik dengan PN dan tidak menjejaskan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

“AMH percaya bahawa peletakan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri oleh BN merupakan langkah yang wajar diambil untuk mengurangkan kekeliruan rakyat terhadap modus operandi BN, agar BN boleh menghentikan sikap talam dua muka dan memastikan bahawa formula baharu BN-PN yang diidam-idamkan boleh direalisasikan sepenuhnya.

“Peletakan jawatan para Menteri dan Timbalan Menteri BN turut dapat mengurangkan risiko sebarang percubaan menebuk atap yang boleh menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan, dan memberikan ruang kepada kerajaan untuk menumpukan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan dan Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Ammar Atan; Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Ho Chi Yang; Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin dan Pengarah Biro Komunikasi WARDA, Syazana Nasir.

Tambah kenyataan itu, tindakan BN yang berulang kali menguji kesabaran rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen sebenar BN.

Katanya, AMH percaya bahawa rakyat menginginkan sebuah kerajaan yang memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi, memperkukuh perpaduan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, bukannya parti yang sentiasa berpolitik atas nama kaum dan agama demi kepentingan sempit.

“Tamak hilang malu, loba dapat kebiasaan. Kenyataan sebegini secara jelas menunjukkan bahawa BN ternyata tidak lagi menghargai semangat kerjasama dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan, meskipun memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, beberapa jawatan menteri, dan jawatan-jawatan penting lain dalam Kerajaan Perpaduan.

“Hakikatnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor telah sekian lama diterajui oleh gabungan PH. Namun, PH tetap memperuntukkan jawatan EXCO kepada BN selepas PRN 2023 demi menghormati semangat Kerajaan Perpaduan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN