Tindakan Waytha Moorthy cabar keabsahan PM bercanggah Perlembagaan

Tindakan Waytha Moorthy cabar keabsahan PM bercanggah Perlembagaan

 NIK SAIFUL ADLI BURHAN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy memfailkan saman mencabar keabasahan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10  bercanggah dengan Perlembagaan dan disifatkan sebagai salah tafsir undang-undang yang serius.

Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan, Nik Saiful Adli Burhan berkata, Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan memang memperuntukkan seseorang hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara setahun atau lebih, atau denda tidak kurang RM2,000, melainkan telah diberi pengampunan.

“Dalam kes Anwar, Yang di-Pertuan Agong telah memberikan pengampunan penuh, sekali gus membatalkan sebarang halangan kelayakan. 

“Perkara ini jelas, namun masih ada pihak yang cuba memanipulasi tafsiran undang-undang demi agenda politik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nik Saiful berkata, Perkara 48 yang menyentuh kelayakan ahli Parlimen tidak boleh disalah tafsir atau dicampur aduk dengan Perkara 42 yang memperincikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

“Kedua-duanya berada dalam bab berbeza dalam Perlembagaan. Perkara 42 berada di bawah Bab Ketiga mengenai kuasa eksekutif, manakala Perkara 48 di bawah Bab Keempat mengenai badan perundangan.

“Perkara 48 bukan khusus mengenai pengampunan, sebaliknya terpakai kepada semua individu yang disabitkan bersalah,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Ketereh mempersoal mengapa isu keabsahan hanya dibangkitkan ketika ini sedangkan undang-undang memperuntukkan bahawa cabaran terhadap keputusan pilihan raya perlu dibuat melalui petisyen pilihan raya dalam tempoh yang ditetapkan.

“Memfailkan saman selepas tempoh lama hanyalah tindakan afterthought yang saya percaya didorong pemikiran politik sempit. 

“Mengheret mahkamah untuk permainan politik bukan sahaja mengelirukan rakyat tetapi merosakkan kewibawaan institusi perundangan,” katanya.

Nik Saiful mengingatkan semua pihak supaya menghormati mandat rakyat dan menumpukan usaha membangunkan negara.

“Jika mahu menjadi Perdana Menteri, tunggulah pilihan raya umum akan datang. Demokrasi Malaysia sentiasa memberi ruang setiap lima tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN