KUALA LUMPUR: Lokasi sebenar tahanan dalam rumah ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat disahkan selagi bekas Perdana Menteri itu belum menjelaskan denda RM50 juta yang ditetapkan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, selagi bayaran denda tersebut belum dilunaskan, Najib akan terus ditahan di Penjara Kajang.
“Setakat ini, keluarga Datuk Seri Najib belum membayar denda. Selepas pembayaran dibuat, saya tidak boleh jangka secara tepat bilakah beliau akan dibawa pulang ke rumah.
“Prosedur operasi standard (SOP) tahanan rumah ke atas Najib akan diperinci oleh Jabatan Penjara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Pada masa ini, Najib mempunyai dua buah rumah di Kuala Lumpur iaitu di Langgak Duta dan Pavilion.
Mengikut Seksyen 3 Akta Penjara 1995 (Akta 537), kuasa kepada Menteri untuk melalui pemberitahuan dalam Warta, mengisytiharkan mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat sebagai penjara bagi maksud Akta berkenaan.
Peruntukan sama turut membolehkan sesuatu premis yang telah diisytiharkan sebagai penjara dihentikan status berkenaan melalui kaedah yang sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, tiada pagar besi atau kawalan keselamatan ketat akan dipasang di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta di sini sekiranya bekas Perdana Menteri itu menjalani tahanan rumah di sana.
Beliau berkata, aspek kawalan keselamatan akan dibahagikan antara Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Penjara.
Menurutnya, pihak Jabatan Penjara akan bertanggungjawab terhadap kawalan di bahagian dalam kediaman manakala polis mengawal aspek keselamatan di bahagian luar.
“Tiada (pagar besi). Kawalan adalah seperti biasa. Pihak penjara akan bertanggungjawab di bahagian dalam, manakala pihak polis akan bertanggungjawab di bahagian luar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat bersama beberapa pegawai Jabatan Penjara di kediaman Najib di Langgak Duta, semalam.-UTUSAN.











