KUALA LUMPUR: Seramai 55,169 penjawat awam dikenal pasti berada dalam kategori berisiko tinggi berkaitan kesejahteraan mental, termasuk mempunyai kecenderungan membunuh diri.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail berkata, jumlah itu menunjukkan isu kesihatan mental dalam perkhidmatan awam perlu diberi perhatian serius dan ditangani menerusi pendekatan lebih menyeluruh.
Menurut beliau, kesejahteraan psikologi penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara perlu dilihat sebagai satu pelaburan strategik, bukan sekadar usaha menangani masalah selepas ia berlaku.
“Kesejahteraan psikologi merupakan antara faktor penting mempengaruhi kesejahteraan organisasi yang pada akhirnya mempengaruhi kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Angka berkenaan diperoleh berdasarkan dapatan Sistem Profil Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD).
Julai lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz memaklumkan bahawa MyPsyD mendapati terdapat lebih 40,000 penjawat awam menghadapi masalah kesihatan mental.
Mengulas lanjut, Mohd. Bakhari berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini giat merangka beberapa langkah intervensi tuntas termasuk membangunkan Garis Panduan Kesihatan Mental Perkhidmatan Awam.
Katanya, JPA juga bakal memperkenalkan Indeks Kebahagiaan Penjawat Awam sebagai instrumen penting untuk mengukur serta menilai tahap kesejahteraan psikologi warga kerja sektor awam secara lebih komprehensif.
“Kerajaan sentiasa prihatin dan telah menyediakan pelbagai kemudahan bagi memastikan keseimbangan antara kehidupan dan kerjaya warga kerja sektor awam.
“Ini merangkumi penambahbaikan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) bermula 1 Ogos lalu, serta Garis Panduan Pembudayaan Keseronokan Bekerja Sektor Awam,” katanya.
Beliau berkata, JPA turut dalam proses melaksanakan kajian hala tuju dan pemerkasaan Skim Perkhidmatan Psikologi, selain meningkatkan tahap akademik Pegawai Psikologi sektor awam ke peringkat Sarjana secara berperingkat.
“Langkah ini bagi memastikan perkhidmatan psikologi tidak lagi dilihat sekadar perkhidmatan sokongan, sebaliknya bertindak sebagai penggerak utama dalam pemerkasaan sumber manusia negara,” katanya. – UTUSAN











