PETALING JAYA: Tiga rakan kepada pelakon Sophia Albarakbah bakal dipanggil polis untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan artis terbabit menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, siasatan sedang dijalankan pihaknya.
“Setakat ini tiada tangkapan dan keterangan pelakon terbabit telah direkodkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Sophia membuat laporan di Balai Polis Travers berkenaan kes kes buli siber dan gangguan seksual yang diterimanya selepas memenangi kategori Selebriti Feminin Terhangat pada satu majlis anugerah.
Menurut peguamnya, Aizat Izuan Shakeel, anak guamnya itu terkesan dengan tekanan emosi susulan kejadian tersebut sejak hampir seminggu lalu.
Aizat Izuan menjelaskan, akibat peristiwa itu, Sophia mengalami tekanan emosi yang serius dan bimbang boleh menjejaskan kesihatan mentalnya.
Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.-UTUSAN










