GEORGE TOWN : Tiga buah premis makanan di sekitar daerah Timur Laut di sini diarah untuk tutup serta-merta gara-gara penemuan najis tikus di beberapa lokasi termasuk stor, ruang penyimpanan makanan beku dan dapur.
Jurucakap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, tindakan itu diambil susulan operasi bersepadu malam tadi yang melibatkan Jabatan Pelesenan MBPP bersama pegawai penguatkuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri.
“Kesemua premis ini telah dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil 38(1), Undang-Undang Kecil (Establishment Makanan) MPPP 1991 kerana gagal mengekalkan tahap kebersihan mengikut standard yang ditetapkan.
“Berikutan itu, arahan penutupan premis selama dua minggu berkuat kuasa serta-merta mulai semalam telah dikeluarkan kepada pemilik yang terlibat,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, dalam operasi yang sama, sebanyak 14 kompaun turut dikeluarkan di bawah UUK 12(1) iaitu Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan MPPP 1983 kerana pengendali makanan gagal untuk mendapatkan atau mengemukakan kad pelalian suntikan antitifoid semasa pemeriksaan dijalankan.
“Selain itu, KPDN juga dilaporkan telah mengeluarkan kompaun terhadap sebuah premis makanan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana gagal memaparkan caj perkhidmatan dalam Ringgit atau sen.
“Sebuah lagi premis pula dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972, Seksyen 14(6) kerana menggunakan peralatan timbang yang tidak disahkan bagi tujuan perdagangan,” katanya.
Tambah beliau, MBPP akan terus melaksanakan operasi bersepadu seumpama ini bersama agensi penguatkuasa lain dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang dan keselamatan makanan terjamin.-UTUSAN