PETALING JAYA: Penyanyi dan pencipta lagu, Hael Husaini menegaskan dia sejak dulu tidak pernah mendiskriminasi malah sentiasa terbuka untuk memberikan lagu-lagu yang dihasilkannya kepada semua penyanyi.
Kata Hael, sangkaan yang kononnya dia seorang komposer ‘pilih bulu’ dan hanya memberikan lagu kepada penyanyi-penyanyi popular dan hebat adalah tidak benar.
“Saya tidak pernah menetapkan hanya penyanyi popular sahaja yang boleh nyanyikan lagu-lagu saya.
“Kalau saya ini bersikap begitu, mungkin saya tidak beri lagu saya kepada penyanyi baru seperti Nadeera.
“Hakikatnya saya terbuka bekerjasama dengan semua penyanyi asalkan berkesempatan dan berpeluang.
“Paling penting pada saya adalah kualiti lagu dan pembawakan artis yang akan menyanyikan lagu saya,” kata Hael.
Penyanyi lagu Jampi ini berkata demikian sewaktu sesi latihan konsert Festival Tentang Cinta, semalam.
Penyanyi berusia 37 tahun ini pada masa yang sama mengakui dia amat mementingkan kualiti dalam hasil kerjanya dan sentiasa mahu menggembirakan penerima dengan lagu yang terbaik.
“Saya ini sebolehnya Tidak mahu memberikan lagu ‘asal buat’ kepada penyanyi lain.
“Saya lebih selesa ambil masa lama untuk buat lagu supaya hasil kerja yang saya serahkan itu terbaik dan memuaskan hati penerima,” kongsinya.
Pada masa yang sama, pemilik nama penuh Hal Husaini Razmi itu juga memaklumkan dia buat masa ini hanya akan memberikan lagu-lagunya kepada penyanyi yang benar-benar memerlukan untuk kelangsungan karier nyanyian mereka.
“Lagu saya adalah untuk penggiat seni muzik. Mereka inilah golongan sasar saya.
“Saya ini bukan pencipta lagu yang ‘asal ambil’ tawaran. Saya tidak nafikan ramai pihak, termasuk yang bukan penggiat seni juga pernah menawarkan bayaran lumayan untuk membeli lagu saya.
“Bukan mahu menolak rezeki. Tetapi saya harus berterus terang bahawa buat masa ini saya dahulukan penyanyi yang memerlukan lagu untuk perkembangan karier muzik mereka,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Hael memaklumkan teruja untuk ke Sabah bagi menjayakan konsert Festival Tentang Cinta yang bakal dianjurkan pada 9 Ogos ini.
“Sambutan peminat di Sabah, berdasarkan pengalaman saya, berbeza dengan tempat lain. Mereka bagi saya lebih teruja dan sentiasa memberikan respons luar biasa.
“Sebab itu saya teruja dan tak mahu lepaskan peluang untuk ke Sabah.
“Saya juga pada masa yang sama bangga kerana terpilih sepentas dengan artis tempatan dan dari negara jiran untuk konsert itu nanti,” katanya. – UTUSAN