Tiada istilah ‘pentingkan diri’ dalam Floor 88 - Utusan Malaysia

Tiada istilah ‘pentingkan diri’ dalam Floor 88

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS hampir sedekad bersama, Floor 88 terus bertahan sebagai sebuah kumpulan yang sinonim dengan lagu-lagu berjiwa rakyat serta dekat dengan masyarakat.

Kongsi vokalisnya, Nik Fadlee Elhamshah atau Ayie, perkara yang menyatukan mereka selama lapan tahun bukan semata-mata muzik, tetapi semangat setia kawan dan prinsip saling menghormati sesama ahli.

“Saya memilih untuk menolak meskipun sering menerima tawaran untuk persembahan solo atau undangan majlis makan malam dengan bayaran lumayan.

“Ini untuk elakkan salah faham. Kadang duit memang menjadi punca perpecahan sebuah band.

“Bila mula ketepikan ahli lain, hubungan bertukar renggang. Jadi, dalam apa perkara sekalipun, saya dahulukan band,” katanya yang ditemui semasa pelancaran lagu F baru-baru ini.

Tambahnya, bukan sedikit tawaran yang datang, termasuklah bayaran yang cukup lumayan.

“Namun apabila penganjur tidak mampu menyediakan bayaran untuk band secara keseluruhan, saya memilih untuk menolak secara baik,” kongsinya.

Sementara itu, Eric Fuzi mengakui Floor 88 juga tidak terkecuali daripada berdepan perbalahan dan momen-momen tegang sejak kumpulan itu ditubuhkan.

Bagaimanapun katanya, perselisihan yang berlaku antara mereka tidak pernah berlanjutan atau dipanjang-panjangkan.

“Ketika menghasilkan lagu Hutang pun kami gaduh, lagu F juga sama. Namun pertelagahan itu tidak berpanjangan malah hubungan sesama kami segera pulih dengan sendirinya,” ujarnya.

Tambah Eric lagi, walaupun pernah bertegang urat, nilai setia kawan antara mereka tetap dipihara kerana mereka yakin dengan rezeki yang datang apabila mereka bersama.

“Gaduh macam mana sekalipun, tidaklah sampai mahu keluar band. Rugi jika tinggalkan band kerana kita kehilangan salah satu punca pendapatan,” selorohnya.

Dalam masa yang sama, Zai Hamzah atau Achoi pula menekankan pentingnya komunikasi dan tolak ansur untuk mengekalkan hubungan baik sesama ahli.

“Setiap ahli ada bidang sampingan masing-masing. Bila Ayie berlakon atau Akram sibuk dengan projek sendiri, ahli lain memberi ruang.

“Kami sokong satu sama lain dan sehaluan dalam mencari kesepakatan. Tak ada istilah nak keluar band kerana projek peribadi, itu semua minat masing-masing, perjuangan untuk band ini tetap kami teruskan secara bersama,” jelas Choi.

F: KRITIKAN SOSIAL SEMASA
Lagu terbaru Floor 88, F, bukan sekadar hiburan semata-mata kerana ia mengandungi kritikan sosial tentang isu taraf hidup dan sikap masyarakat.

Malah teguran yang disampaikan menjadi lebih jelas menerusi lakonan semula babak-babak menarik filem Man Laksa yang disampaikan dalam klip video lagu berkenaan.

“Lagu ini sebenarnya sudah agak lama ditulis, mengambil masa kira-kira hampir dua tahun untuk disiapkan.

“Kami tidak mahu mengitar semula idea sebelum ini, malah berusaha menghasilkan sesuatu yang berbeza daripada lagu-lagu kami yang terdahulu.

“Kami mahu lari daripada konsep lama. Keadaan ini memberikan sedikit tekanan kepada kami kerana lagu Hutang sebelum ini sudah menjadi penanda aras yang tinggi untuk karya kami,” kata Achoi.
Sambungnya, F secara halus bukan sahaja menyentuh isu semasa malah mengandungi teguran untuk kesedaran masyarakat.

“Dalam lagu ini kami sentuh mengenai golongan yang tidak mengukur baju di badan sendiri, perebutan bantuan walaupun hidup sudah selesa serta isu ketidakseimbangan ekonomi negara,” kongsinya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN