Terima komen biadab; Manusia seperti kamulah yang mencipta kejahatan - Puteri Balqis

Terima komen biadab; Manusia seperti kamulah yang mencipta kejahatan – Puteri Balqis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon remaja, Puteri Balqis, 19, meluahkan rasa kecewa dan berang terhadap tindakan segelintir individu di media sosial yang mengecam serta memperlekehkan kehidupannya dan keluarga.

Menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, pelakon itu menegaskan tidak logik untuk seseorang itu menilai manusia lain berdasarkan penampilan luaran semata-mata apa lagi menghina mereka yang pernah melalui kesusahan hidup.

Malah, Balqis turut mempersoalkan tindakan segelintir individu yang dianggapnya berpenampilan soleh dan sopan, namun gemar merendah-rendahkan orang lain di media sosial.

“Tidak ada logiknya perempuan bertudung, lelaki berjubah di dunia seperti kamu; yang mengetawakan kemiskinan orang lain, mengharapkan kejatuhan orang lain.

“Memerli anak yang banyak berdiam apabila kena dera dengan ayah sendiri, memerli ibu yang ditinggalkan ketakutan dalam keadaan suami.

“Manakala kawan-kawannya bergelak tawa mabuk, melakukan perbuatan terkutuk, mengambil dadah, menyamar beragama di depan manusia,” katanya.

Pelakon itu turut mendedahkan pengalamannya memerhati sisi gelap sesetengah pihak yang disifatkannya bermuka dua.

Menerusi luahan panjangnya itu, Balqis juga menyentuh mengenai kehidupannya dan keluarga yang dianggap berbeza daripada masyarakat kebanyakan.

“Tidak ada logiknya satu keluarga bertatu seperti kami; yang pernah susah dan bangkit kembali, menyayangi dan memegang haiwan seperti anjing yang tidak ada dosa, setia pada hanya seorang isteri dan anak, tidak berada di ruangan komen untuk mengeji, menghina atau memerli manusia lain, tiba-tiba dicampak ke neraka.

“Satu kami buat, 10 kejahatan Muslim seperti kamu buat di dunia. Tapi kejahatan sifat, lidah, jari jemari kamu tertutup dan tertipu dengan zahir yang nampak baik.

“Selangkah kamu ke depan, kamu tidak pernah tahu apa bakal jadi, maka tidak ada logiknya kamu tahu tentang kematian kami.

“Jangan sampai kamu dengan keluarga kamu yang nampak baik itu kena salai dulu di neraka,” katanya lagi.

Selain itu, Balqis menyifatkan manusia yang gemar menghukum dan memerli lazimnya menjadi punca kepada tercetusnya kejahatan dan pergaduhan di dunia.

“Manusia seperti kamulah yang banyak mencipta kejahatan, peperangan, dan pergaduhan.

“Lepas itu heboh dengan akhir zaman. Manusia seperti kami lebih berdiam dan hanya memerhati. Kerana kami percaya, kematian itu ‘plot twist’ untuk manusia yang dihina seperti kami.

“Tidak akan pernah sama dengan kepercayaan kejam yang digembar-gemburkan oleh manusia,” katanya.

Dalam pada itu, Balqis turut menyebut nama akaun Instagram milik individu-individu terbabit termasuk komen biadab yang diterimanya di media sosial sekali gus mendapat respons pelbagai daripada pengikutnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN