YALA (THAILAND): Seorang anggota kumpulan gerakan pemisah Selatan Thai maut manakala beberapa lagi cedera dalam letupan bom buatan sendiri (IED) di sebuah rumah di Daerah Mueang di sini, malam semalam.
Kejadian pukul 7.50 malam itu berlaku semasa tiga hingga lima anggota kumpulan itu sedang menyediakan peranti IED di rumah berkenaan.
Timbalan Pengarah Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), Kolonel Ekwarith Chobchuporn berkata, sejurus menerima laporan, sepasukan anggota polis dan tentera segera melakukan pemeriksaan serta mengepung kawasan kejadian.
Katanya, pemeriksaan mendapati penduduk kampung telah menghantar seorang lelaki berusia 24 tahun yang cedera parah dalam kejadian itu ke Hospital Yala untuk rawatan.
“Lelaki itu yang dipercayai anggota kumpulan ekstremis, bagaimanapun meninggal dunia akibat kegagalan organ dan pendarahan akibat kesan letupan jarak dekat.
“Siasatan pegawai forensik menemukan beberapa bukti penting termasuk peranti elektronik dan serpihan komponen IED. Letupan dipercayai berlaku ketika tiga hingga lima anggota kumpulan terbabit sedang memasang bom berkenaan.
“Mereka mungkin tersilap ketika memasang IED tersebut yang kemudiannya meletup. Kami percaya beberapa lagi anggota kumpulan itu cedera tetapi sempat melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Ekwarith memberitahu, siasatan lanjut membawa kepada penemuan kesan darah di kawasan hutan berhampiran dan gerakan memburu mereka sedang giat dijalankan.
Katanya, kumpulan terbabit dipercayai memasang bahan letupan berkenaan dan merancang melakukan serangan di sekitar Yala dalam tempoh terdekat.
“Semakan pangkalan data keselamatan mendedahkan bahawa lelaki terbabit adalah anggota pemberontak yang beroperasi di Mukim Yala dan kawasan sempadan Daerah Mueang,” ujarnya. – UTUSAN










