2,500 pengunjung Langkawi nikmati fenomena laut terbelah

2,500 pengunjung Langkawi nikmati fenomena laut terbelah

PENGUNJUNG berjalan di atas beting pasir yang terbentuk susulan air surut penuh di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Fenomena beting pasir yang muncul setahun sekali susulan air laut surut penuh terus menjadi tarikan unik pelancongan di Pulau Langkawi, apabila ribuan pengunjung termasuk pelancong asing membanjiri Pantai Tanjung Rhu, di sini, awal pagi tadi.

Tinjauan mendapati orang ramai mula tiba seawal jam 5.30 pagi bagi menyaksikan keajaiban alam itu, meskipun mereka hanya dibenarkan berjalan di atas beting pasir berkenaan bermula jam 6.30 pagi apabila paras air laut mencapai tahap terendah.

Seorang pelancong dari United Kingdom, Juhi Smith, 26, berkata, dia mengetahui mengenai fenomena berkenaan melalui pemandu e-hailing dan pihak hotel sebaik tiba di Langkawi malam tadi.

“Kami bangun awal untuk melihat sendiri fenomena ini dan sangat teruja kerana dapat melihat pelbagai hidupan laut seperti ketam dan udang yang jarang ditemui. Ini hari pertama kami di Langkawi dan pengalaman ini benar-benar tidak akan dilupakan,” katanya ketika ditemui.

Pelancong dari Australia, Maya Williams, 26, pula menyifatkan fenomena itu sebagai luar biasa dan di luar jangkaannya, terutama apabila dimaklumkan ia hanya berlaku sekali setahun.

“Pemandangan cahaya matahari terbit dari arah bertentangan pulau-pulau sangat indah. Walaupun matahari tidak kelihatan sepenuhnya, suasananya sangat menakjubkan dan berbeza daripada mana-mana tempat yang pernah saya kunjungi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata, fenomena berkenaan telah dimasukkan dalam kalendar pelancongan rasmi Langkawi.

Menurutnya, kira-kira 2,500 pengunjung direkodkan berjalan di atas beting pasir sejauh kira-kira satu kilometer yang terbentuk apabila paras air laut turun ke tahap 0.0 meter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN