KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengemukakan senarai 10 projek mega yang disifatkan sebagai ‘wajib diluluskan’ dalam Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi menjamin keselamatan rakyat, kelestarian alam sekitar dan kelancaran ekonomi negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, semua projek itu bersifat mendesak dan perlu diberi keutamaan oleh kerajaan Persekutuan, bukan semata-mata memenuhi kehendak pembangunan bersifat kemewahan.
Katanya, antara projek yang dikemukakan ialah Pengawalan Hakisan Pantai Rusila, Marang (RM144.85 juta); Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buaya, Kuala Nerus (RM247.97 juta); Jalan Baharu KT-Bypass ke FT14, Kuala Terengganu (RM231.12 juta) dan RTB Anak Sungai Ibai, Kuala Terengganu (RM147.66 juta).
Turut disenaraikan ialah pembinaan Blok Tambahan Hospital Besut (RM500 juta); penggantian Paip Air Submarin ke Pulau Redang (RM150 juta); menaik taraf Jalan Persekutuan FT03 di Setiu (RM231.84 juta); Sistem Saliran Mesra Alam Kampung Mak Chili, Kemaman (RM29.90 juta); pembinaan Jambatan Baharu Pulau Kekabu, Marang (RM6.90 juta) dan menaik taraf Stadium Hoki Kuala Terengganu (RM7.90 juta).
Katanya, projek-projek tersebut sangat penting dalam menangani isu hakisan pantai kritikal, banjir kilat, masalah kesihatan awam, gangguan bekalan air, jalan berisiko tinggi serta infrastruktur sukan yang daif.
“Walaupun Terengganu adalah penyumbang utama kepada hasil negara menerusi industri minyak dan gas, kelulusan projek serta peruntukan pembangunan sering kali mengalami kelewatan.
“Kami berharap kerajaan Persekutuan memberikan keutamaan penuh terhadap 10 projek ini demi kesejahteraan rakyat Terengganu,” katanya semalam.
Menurut beliau, RMK-12 sebelum ini meletakkan asas pembangunan yang kukuh, namun penyertaan Terengganu dalam RMK-13 agak terhad apabila hanya terlibat dalam enam daripada 122 strategi yang digariskan.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai keseimbangan perancangan pembangunan antara negeri, khususnya untuk memastikan Terengganu terus menerima manfaat setimpal dengan sumbangannya kepada ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN










