KUALA LUMPUR: Kerajaan mengalami pembaziran wang sebanyak RM28.79 juta susulan kelewatan penggantian kenderaan yang tamat tempoh pajakan sehingga menyebabkan kementerian dan agensi terpaksa meneruskan sewaan kenderaan lama dengan kos penyelenggaraan lebih tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kelewatan pembekalan kenderaan baharu menyebabkan 5,323 kenderaan terus dipajak melebihi tempoh asal antara 48 hingga 60 bulan.
Beliau berkata, kerajaan terpaksa membayar kos sewaan tetap bulanan penuh selain menanggung kadar penyelenggaraan bulanan yang jauh lebih mahal berbanding penggunaan kenderaan baharu yang mempunyai kos penyelenggaraan tahun pertama lebih rendah.
“Berlakunya pembaziran wang Kerajaan berjumlah RM28.79 juta akibat kelewatan penggantian kenderaan yang telah tamat tempoh pajakan. Disebabkan kenderaan baharu lewat tiba, kementerian dan agensi pengguna terpaksa meneruskan pajakan sewaan lama bagi 5,323 buah kenderaan melebihi tempoh 48 hingga 60 bulan asal.
“Kerajaan terpaksa membayar kos sewaan tetap bulanan penuh beserta kadar kos penyelenggaraan bulanan (repairs and maintenance) yang jauh lebih mahal, berbanding jika kenderaan digantikan dengan kenderaan baharu yang mempunyai kos penyelenggaraan tahun pertama yang jauh lebih rendah,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjelaskan hasil siasatan PAC menerusi prosiding Pembentangan Penyata PAC berhubung Pengurusan Kenderaan Kerajaan di bawah Perjanjian Konsesi Kementerian Kewangan.
Tambah Mas Ermieyati, PAC turut mendapati terdapat kelemahan pengurusan kontrak oleh Kementerian Kewangan selaku kementerian yang menguruskan perjanjian konsesi kenderaan kerajaan dengan SPANCO Sdn. Bhd. yang berkuat kuasa selama 15 tahun bermula 31 Julai 2022 hingga 30 Julai 2037.
“Terdapat kelemahan dari segi pengurusan kontrak oleh Kementerian Kewangan yang menguruskan perjanjian konsesi bagi pihak Kerajaan Persekutuan (berkuat kuasa selama 15 tahun dari 31 Julai 2022 hingga 30 Julai 2037) khususnya pada fasa awal tempoh kuat kuasa kontrak.
“PAC mendapati ada jurang komunikasi antara Kementerian Kewangan dengan kementerian dan agensi pengguna kenderaan konsesi, berlakunya kecelaruan dalam takrifan tempoh mula pengenaan penalti, dan MOF telah gagal untuk mengedarkan dokumen kontrak kepada kementerian dan agensi pengguna.
“Ini menyebabkan Kerajaan lewat untuk mengutip penalti kelewatan pembekalan kenderaan bernilai jutaan ringgit daripada SPANCO Sdn. Bhd,” katanya.
Menurut beliau lagi, terdapat perbezaan ketara antara anggaran penalti asal kelewatan pembekalan kenderaan yang dibuat oleh audit (RM54.51 juta) dengan amaun yang disemak bersama kementerian dan agensi pengguna (RM18.7 juta) bagi 27 kementerian tidak termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Sebahagian kelewatan dipengaruhi oleh kelemahan pengurusan Kerajaan sendiri seperti perubahan varian model kenderaan, birokrasi agensi Kerajaan, pendaftaran nombor khas kenderaan, keperluan pemasangan peralatan khusus operasi, serta bencana luar jangka seperti kebakaran kapal kargo pengangkut kenderaan, yang mana di bawah klausa perjanjian konsesi mengecualikan SPANCO Sdn. Bhd. daripada dikenakan penalti,” katanya.
Beliau berkata, walaupun kelewatan penggantian Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) termasuk kenderaan kegunaan menteri dan pegawai kanan tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam secara kritikal, ia menyebabkan kementerian dan agensi menanggung kos tambahan melalui penyewaan kenderaan luar menggunakan peruntukan sedia ada.
“Kelewatan pembekalan kenderaan khususnya Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) iaitu kenderaan kegunaan menteri dan pegawai kanan tidak menjejaskan fungsi utama penyampaian perkhidmatan awam dan keselamatan negara secara kritikal.
“Walau bagaimanapun, kelewatan penggantian KRJ telah mengakibatkan kementerian dan agensi pengguna terpaksa menanggung kos implikasi kewangan luaran tambahan yang tidak perlu melalui penyewaan kereta luar komersial menggunakan peruntukan sedia ada (OS) kementerian atau agensi,” katanya. – UTUSAN










