KANGAR: Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri merangkap Ahli Dewan Negara, Azahar Hassan mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa serta merta.
Beliau turut melepaskan semua jawatan di dalam parti termasuk Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Kangar.
Bagaimanapun, tugas beliau sebagai senator akan diteruskan demi tanggung jawab kepada rakyat negeri ini.
Azahar berkata, keputusan tersebut dibuat setelah melalui pertimbangan panjang, penelitian sewajarnya serta muhasabah mendalam terhadap perkembangan semasa.
“Saya percaya keputusan ini adalah berdasarkan prinsip, pendirian dan pertimbangan peribadi demi meneruskan hala tuju perjuangan yang saya yakini. Keputusan ini juga dibuat dengan penuh rasa hormat terhadap parti serta seluruh warga perjuangan Bersatu yang telah bersama-sama melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh penglibatan saya.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Presiden dan seluruh barisan kepimpinan parti di semua peringkat serta ahli-ahli Bersatu yang telah memberikan kepercayaan, sokongan dan kerjasama kepada saya sepanjang menggalas amanah dalam parti.
“Segala pengalaman, jasa, persahabatan dan ruang berkhidmat yang diberikan akan sentiasa saya kenang dan hargai,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dan seorang Exco kerajaan negeri, meletak jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.-UTUSAN










