KUALA LUMPUR: Projek pembangunan tanah perkuburan awam baharu di Lot PT3458, Mukim Hulu Semenyih, daerah Hulu Langat dilaksanakan menerusi kaedah pertukaran tanah antara Route Edge Sdn. Bhd. dan Kerajaan Persekutuan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Hanifuddin Roslan berkata, syarikat berkenaan membangunkan jalan pintas keluar masuk dari Sungai Lalang ke Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK) sepanjang 4.34 kilometer selain menyediakan tapak perkuburan awam Wilayah Persekutuan di lot ditetapkan.
Beliau berkata, projek itu dilaksanakan bagi mengatasi isu kekurangan tanah pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan yang semakin kritikal.
“Projek pembangunan tapak perkuburan ini berkonsepkan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) yang melibatkan penyediaan sehingga 104,000 lot kubur.
“Kapasiti itu mampu menampung unjuran penggunaan selama 28 tahun selain dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk pejabat pentadbiran, surau, ruang pengurusan jenazah, kuarters, pondok pengawal dan infrastruktur berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menegaskan Projek Pembangunan Tapak Perkuburan Islam Wilayah Persekutuan di Hulu Semenyih, Selangor telah dirancang sejak 2005 bagi menangani kekurangan tapak perkuburan Islam di Kuala Lumpur selain mengurangkan kesesakan lalu lintas di Semenyih.
Penjelasan itu dibuat susulan kekeliruan yang tular dalam media sosial berhubung status projek berkenaan.
Hanifuddin berkata, pembangunan tersebut dijangka siap pada 2029 sebelum diserahkan sepenuhnya kepada jabatan itu untuk diuruskan.
Katanya, Jawi akan bertanggungjawab mengendalikan keseluruhan urusan pengurusan jenazah termasuk pengebumian jenazah tidak berwaris serta penyelenggaraan tanah perkuburan, sebagaimana dilaksanakan di lapan TPIRS sedia ada di Wilayah Persekutuan.
“Hartanah yang terlibat dalam projek ini kekal di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan telah diwartakan sebagai Tanah Perkuburan Awam seluas 90 hektar (222.68 ekar),” katanya.
Beliau berharap penjelasan itu dapat memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai usaha kerajaan menyediakan kapasiti tanah perkuburan baharu bagi memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan, selaras dengan ruang tanah perkuburan awam yang semakin berkurangan. – UTUSAN










