KUALA TERENGGANU: Bermula sekadar membantu bapanya di kebun cili, kini Malimi Zakaria, 50, muncul sebagai usahawan tani yang mampu menuai lebih satu tan metrik cili sebulan di Kampung Kubang Panjang di sini.
Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad dalam tanaman cili, Malimi membuktikan bahawa kejayaan tidak semata-mata bergantung kepada keluasan tanah, tetapi kepada amalan pengurusan tanaman yang efisien.
Katanya, dia mengusahakan kira-kira 2,000 pokok cili atas tanah seluas 0.004 hektar dan memperoleh hasil tuaian melebihi satu tan metrik sebulan dengan mengaplikasikan pelbagai teknik moden dan Amalan Pertanian Baik (GAP).
“Pemilihan anak pokok yang berkualiti, bebas penyakit dan pengurusan berterusan terhadap serangga perosak sangat penting bagi memastikan hasil yang baik. Bagaimanapun, kadangkala kita tidak mampu mengawalnya kalau tiba musim penyakit. Seperti awal tahun ini, kira-kira 1,000 anak pokok cili rosak di serang penyakit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Malimi berkata, penggunaan baja organik dan kimia secara seimbang sangat membantu mengekalkan kesuburan tanah dan memenuhi keperluan nutrien tanaman.
“Saya menggunakan sistem pengairan titik untuk memastikan setiap pokok menerima bekalan air mencukupi, khususnya ketika musim kemarau. Selain itu, jarak antara pokok yang sesuai penting bagi memastikan pengudaraan baik, sekali gus mengurangkan risiko serangan penyakit seperti layu bakteria yang boleh menjejaskan hasil tuaian,” katanya.
Malimi berkata, selain cabaran penyakit, situasi harga cili yang tidak menentu juga menjadi dilema kepada petani sepertinya.
Katanya, bulan lalu harga cili melonjak hingga RM18 sekilogram dan memberi pulangan lumayan kepada petani.
“Tetapi kita juga perlu sentiasa bersedia menghadapi turun naik harga, contoh harga cili semalam turun kepada RM9 sekilogram,” katanya.
Menurutnya, penglibatan aktif dan usaha gigih sebagai usahawan cili membolehkannya dinobatkan sebagai Ikon Cili Daerah Kuala Terengganu 2024 dan Anugerah Usahawan Wanita Terbaik 2023 menerusi Program Hala Tuju Sektor Pertanian Negeri Terengganu sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam memperkasa bidang pertanian negara. – UTUSAN










