PETALING JAYA: Jururawat berpengalaman yang pernah berkhidmat di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dilantik semula dengan menawarkan skim kontrak menarik bagi memanfaatkan kepakaran golongan itu.
Ahli Dewan Negara, Dr. RA Lingeshwaran berkata, langkah itu wajar diberi keutamaan sebelum kerajaan memutuskan untuk menggunakan khidmat jururawat dari luar negara termasuk Indonesia.
Katanya, pengambilan tenaga kerja asing tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian mudah untuk menampung kekurangan kakitangan, sebaliknya ia mesti dilaksanakan sebagai langkah strategik dan bersifat sementara bagi meringankan beban jururawat tempatan sekali gus memastikan ekosistem kerjaya mereka terus terpelihara.
“Kita ada lebih 1,000 jururawat berkelayakan yang masih menunggu untuk diserap sebagai jururawat terlatih sejak 2020. Mereka adalah aset sedia ada yang perlu diberi keutamaan khususnya di fasiliti kesihatan luar bandar.
“Jururawat KKM kini berada pada tahap membimbangkan akibat bebanan kerja melampau, syif berganda dan pembekuan cuti termasuk pada musim perayaan. Keadaan ini menjejaskan kesihatan mental dan fizikal mereka serta kualiti perkhidmatan kepada pesakit,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Lingeshwaran berkata, pengambilan jururawat Indonesia boleh dipertimbangkan sekiranya ia dilaksanakan dengan syarat yang ketat dan hanya sebagai penyelesaian sementara.
Katanya, jururawat Indonesia mesti ditempatkan di kawasan luar bandar bagi membolehkan jururawat tempatan yang telah lama berkhidmat jauh dari keluarga kembali ke penempatan asal.
“Ramai jururawat terpaksa berkhidmat jauh dari keluarga sehingga menimbulkan tekanan emosi, keretakan rumah tangga, malah perceraian.
Ada anak-anak yang kurang terjaga lalu menimbulkan masalah sosial. Dengan pengambilan jururawat Indonesia, diharap jururawat tempatan dapat dipindahkan lebih dekat dengan keluarga mereka.
“Pengambilan jururawat Indonesia perlu mematuhi standard KKM, lulus penilaian Lembaga Jururawat Malaysia dan menjalani latihan orientasi intensif termasuk menguasai Bahasa Melayu dengan istilah perubatan tempatan sebelum memulakan tugas,” katanya.
Lingeshwaran turut mengakui jururawat Indonesia mempunyai rekod prestasi baik di peringkat antarabangsa, antaranya di Jepun melalui program Government-to-Government (G-to-G) di bawah Indonesia-Japan Economic Partnership Agreement (IJEPA) yang mensyaratkan latihan bahasa intensif dan peperiksaan kebangsaan.
Katanya, meskipun kejayaan jururawat Indonesia membuktikan tahap kompetensi yang tinggi, namun pengambilan mereka untuk berkhidmat di negara ini perlu strategik supaya tidak menjejaskan peluang, kebajikan dan pembangunan kerjaya jururawat tempatan.










