DAP berdepan tekanan jika BN tawan Negeri Sembilan

DAP berdepan tekanan jika BN tawan Negeri Sembilan

ONG KIAN MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP dijangka berdepan tekanan politik yang semakin memuncak untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini.

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming berkata, senario itu bagaimanapun bergantung kepada kemampuan BN memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk menubuhkan kerajaan negeri sama ada secara bersendirian atau dengan sokongan terhad daripada Perikatan Nasional (PN).
“Saya fikir (kemenangan BN) akan memberi tekanan yang amat besar kepada DAP untuk meninggalkan kerajaan.

“Ia juga akan memberi alasan bukan sahaja kepada BN, malah mungkin juga kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), untuk berhujah bahawa dengan ketiadaan lima menteri dan tujuh timbalan menteri daripada DAP, kerajaan tidak lagi stabil, sekali gus mencadangkan supaya Perdana Menteri membubarkan Parlimen.

“Saya fikir itu adalah perkembangan yang sangat berkemungkinan berlaku,” katanya dalam episod terbaharu audio siar Keluar Sekejap semalam.

Pada Februari lalu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, 4,000 perwakilan yang menghadiri kongres khas parti pada 12 Ogos, yang asalnya dijadualkan pada 12 Julai akan mengundi bagi menentukan sama ada pemimpin DAP perlu meletakkan jawatan sebagai menteri, timbalan menteri, exco, ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) serta lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pengumuman itu dibuat kira-kira dua bulan selepas beliau berkata DAP akan bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri bagi mempercepatkan agenda reformasi dalam tempoh enam bulan selepas DAP dan Pakatan Harapan (PH) mengalami kekalahan besar pada PRN Sabah.

Parti itu juga menyaksikan jumlah kerusinya di Johor merosot daripada 10 kepada enam pada PRN Johor Sabtu lalu, selepas kehilangan tiga kerusi kepada MCA (Tangkak, Jementah dan Johor Jaya) serta satu kerusi kepada MIC (Perling), namun berjaya mempertahankan Bentayan, Mengkibol, Stulang, Penggaram, Senai dan Skudai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN