WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin mengumumkan bahawa Washington akan menguatkuasakan semula sekatan terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran dan mengambil alih Selat Hormuz dengan mengenakan caj ke atas kapal-kapal yang melalui laluan perairan strategik itu.
Pengumuman tersebut dibuat selepas AS dan Iran melancarkan serangan pada skala yang tidak pernah disaksikan sejak gencatan senjata pada April dalam konflik di Asia Barat, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap usaha menamatkan perang secara berkekalan yang telah menjejaskan pelayaran di Selat Hormuz.
“Selat Hormuz dibuka dan akan terus dibuka dengan atau tanpa Iran. Kami menguatkuasakan semula sekatan terhadap Iran, dinamakan sedemikian kerana ia hanya menghalang kapal-kapal Iran atau pelanggan mereka daripada memasuki atau meninggalkan pelabuhan,” tulis Trump di platform Truth Social.
“Semua negara lain akan menikmati penggunaan Selat Hormuz secara adil dan terbuka. Mulai saat ini, Amerika akan dikenali sebagai penjaga Selat Hormuz,” katanya.
Iran mula menyekat laluan di Selat Hormuz selepas AS dan Israel melancarkan serangan pada penghujung Februari, yang mendorong Washington menghentikan perkapalan ke dan dari pelabuhan Iran.
Sekatan tersebut kemudian dilonggarkan selepas kedua-dua pihak bersetuju menandatangani memorandum persefahaman pada Jun yang bertujuan menamatkan perang. – AFP










