SEGAMAT: Imam dan beberapa jemaah Surau Kampung Sanglang, Buloh Kasap, di sini berdepan detik cemas apabila merasa gegaran gempa bumi sewaktu sedang menunaikan solat Subuh awal pagi tadi.
Menurut Imam Surau Kampung Sanglang, Saniman Abdul Samad, 63, ketika kejadian dia sedang mengimamkan solat Subuh bersama beberapa orang jemaah di surau berkenaan.
“Ketika kejadian, kami semua sedang solat Subuh dan berada di tahiyat akhir. Sebelum memberi salam, kami rasakan gegaran yang agak kuat.
“Selepas itu bunyi dentuman kuat. Kami semua terkejut dan kemudian nampak ‘skirting’ siling surau jatuh di dalam ruang solat.
“Mujur tidak mengenai jemaah ketika solat. Alhamdulillah Allah lindungi kami semua. Ini adalah pengalaman pertama saya merasa gempa bumi lebih-lebih lagi ketika sedang solat.
“Semua jemaah Alhamdulillah selamat tetapi masih lagi merasa terkejut dengan kejadian gegaran pagi tadi,” katanya ketika ditemui di Kampung Sanglang, Buloh Kasap, pagi tadi.
Tambah Saniman, pihak polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah hadir melihat keadaan surau selepas kejadian.
Salah seorang jemaah surau berkenaan, Basir Pairin, 67, berkata, dia yang turut sedang solat Subuh bersama imam serta jemaah lain amat terkejut dengan kejadian pagi tadi.
Katanya, dia juga terdengar bunyi dentuman kuat dan gegaran berlaku, semua jemaah yang sedang solat menghabiskan solat terlebih dahulu kerana sudah berada di tahiyat akhir.
“Selepas itu, kami berpandangan sesama sendiri dan tertanya-tanya bunyi apa yang kuat serta gegaran gempa bumi itu.
“Meremang bulu roma saya selepas gegaran itu kerana tidak pernah merasainya sepanjang hidup saya kejadian seperti itu.
“Alhamdulillah kami semua selamat. Cuma siling surau pecah sedikit. Kami merancang untuk mengadakan doa kesyukuran dan solat hajat selepas solat Maghrib malam ini memohon perlindungan-Nya,” kongsinya. – UTUSAN










