SEGAMAT: Rutin harian masyarakat di daerah ini berjalan lancar seperti biasa selepas 24 jam daerah ini digegarkan dengan bencana gempa bumi awal kelmarin.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Bandar Segamat hari ini menyaksikan aktiviti harian warga Segamat berjalan seperti biasa dengan pelbagai kenderaan membanjiri jalan raya seawal 7 pagi.
Orang ramai menjalankan aktiviti harian seperti menghantar anak ke sekolah, ke tempat kerja, menghantar stok bekalan ke pasar raya, dan gerai makanan beroperasi seperti sedia kala.
Struktur bangunan, jalanraya, jambatan serta tempat-tempat awam juga selamat digunakan serta dilawati oleh orang ramai untuk melunaskan tugasan hakiki masing-masing.
Cuaca juga berada dalam keadaan baik dan orang ramai dilihat tenang, selamat dan yakin atas keselamatan diri meskipun dikejutkan dengan gegaran gempa bumi buat pertama kalinya berlaku di Segamat. – UTUSAN










