Susu getah bernilai RM235,900 dipercayai dicuri dirampas LGM, PDRM

Susu getah bernilai RM235,900 dipercayai dicuri dirampas LGM, PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Susu getah atau lateks bernilai RM235,900 dipercayai dicuri berjaya dirampas dalam operasi bersepadu Lembaga Getah Malaysia (LGM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kamunting, Perak, kelmarin.

Dalam serbuan itu, pasukan Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan (UIP) LGM merampas 29,100 kilogram (kg) susu getah yang disimpan di dalam satu tangki lori dan 6,300kg lagi di dalam bekas jenis Intermediate Bulk Container (IBC).

LGM dalam kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati susu getah itu diimport secara sah dari Thailand oleh pengilang di negara ini sebelum dibawa masuk menggunakan lori tangki dari negara berkenaan.

“Bagaimanapun, pemandu lori terbabit dipercayai menjualnya secara haram dalam kuantiti kecil kepada pihak tertentu di sekitar Taiping dan Kamunting bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM235,900 termasuk barangan lain yang digunakan dalam kegiatan berkenaan,” katanya.

Menurut LGM, kegiatan sedut curi laktes adalah satu kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan LGM 2014, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Jelasnya, LGM komited untuk terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras aktiviti sedut curi lateks.

“Orang ramai juga digalakkan menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan melalui sistem SISPAA LGM bagi membantu usaha penguatkuasaan.

“LHM akan terus menjalankan operasi sebegini bagi mengawal selia keseluruhan rantaian industri getah yang beroperasi khususnya membanteras kes sedut curi lateks,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN