KOTA BHARU: Seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes kemalangan maut yang meragut nyawa seorang remaja lelaki di Persimpangan Lampu Isyarat Melor, di sini, Selasa lalu.
Suspek yang bekerja sebagai juruteknik teknologi maklumat ditahan kira-kira pukul 10 pagi kelmarin sebelum direman sehingga 31 Ogos ini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.35 petang pada 26 Ogos lalu, suspek yang memandu Proton Saga FL dari arah Pasir Puteh menghala ke Kota Bharu dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh motosikal ditunggang seorang remaja.
Katanya, mangsa berusia 17 tahun itu baru memulakan perjalanan dari arah Gunung menghala ke Kota Bharu selepas lampu isyarat di laluannya bertukar hijau.
“Pemandu motokar jenis Proton Saga FL dipercayai bergerak laju dan melanggar lampu isyarat merah kemudiannya melanggar bahagian sisi sebelah kiri motosikal tersebut. Suspek juga melanggar bahagian belakang sebuah Toyota Vios dipandu seorang wanita sebelum keretanya terbabas dan terbalik di pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Rosdi berkata, rempuhan itu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi pada pukul 7.08 malam.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah manakala semakan rekod jenayah juga tiada. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.Saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN









