PETALING JAYA: Seorang suri rumah didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memukul seorang lelaki menggunakan penyapu di sebuah sekolah, bulan lalu.
Tertuduh, K. Mahaletchimy, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.
Mengikut pertuduhan, wanita itu dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap K. Dinakaran, 21, dengan memukul mangsa di lengan menggunakan sebatang penyapu di pondok pengawal sebuah sekolah di Bandar Puchong Jaya, Puchong pada pukul 7.30 malam, 5 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Berdasarkan fakta kes, kejadian dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sekolah berkenaan sebelum tertuduh ditangkap di tepi jalan sekitar Kinrara pada pukul 11.30 malam, 30 Julai.
Difahamkan, Mahaletchimy bertindak demikian selepas mendapati mangsa memburukkan namanya dalam satu siaran langsung (live) di aplikasi TikTok.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Leong Hui mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhd. Muqri Mohd. Khairi yang mewakili Mahaletchimy memohon hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta perlu menanggung dua orang anak yang masih bersekolah.
“Reman selama dua hari sudah memberikan keinsafan kepada anak guam dan kehadiran beliau dalam prosiding hari ini telah menjimatkan masa serta kos mahkamah,” katanya.
Selepas menjatuhkan hukuman denda, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara satu bulan penjara jika gagal membayar denda itu. – Suri rumah mengaku pukul lelaki guna penyapu. – UTUSAN










