KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan meneliti serta menjalankan siasatan awal secara menyeluruh terhadap premis makanan yang tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, ia termasuk premis makanan bukan Islam yang menjadi pilihan pelanggan Islam, namun tidak mempunyai SPHM.
“Kita sedia maklum di negeri ini banyak kedai bukan Islam dan menjadi pilihan orang Islam. Sebagai orang Islam kita patut sedar dan mengutamakan premis yang mempunyai SPHM” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan SPHM di Restoran Nasken Coffee Pasir Tumboh, di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Mengulas lanjut, Mohd. Asri berkata, kerajaan negeri mengambil serius perkara itu dan berharap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pensijilan halal terus dipertingkatkan.
Katanya, beliau menggesa pemilik premis makanan supaya mengambil inisiatif memohon SPHM dengan mematuhi semua prosedur yang ditetapkan.
“Kita juga mahu pemilik premis makanan di negeri ini memohon sijil halal mengikut prosedur. Tempoh untuk mendapatkan sijil berkenaan mengambil masa selama 30 hari.
“Kita tidak mahu pemilik premis hanya mengejar keuntungan semata-mata, sebaliknya perlu mematuhi etika, memastikan produk makanan suci, bersih, patuh syariah serta memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.
Terdahulu sebuah laman sosial facebook Halal Inquiry Company Direktori mendedahkan beberapa premis gagal mendapat sijil halal termasuk premis bukan Islam yang menjadi pilihan umat Islam di negeri ini.-UTUSAN










