Ajal dihempap pokok pulai 200 tahun - Utusan Malaysia

Ajal dihempap pokok pulai 200 tahun

JENAZAH mangsa diusung ke dalam trak pikap polis untuk dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Perjalanan pulang seorang lelaki ke rumah bertukar tragedi apabila motosikal yang ditunggangnya dihempap sebatang pokok pulai dipercayai berusia lebih 200 tahun yang tumbang ketika ribut di Kampung Petani, Sering di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, Sauti Mohamad, 55, meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan apabila dihempap pokok yang dikatakan sudah reput.

Saksi kejadian, Aziz Ismail, 48, berkata, terdahulu dia terdengar bunyi dentuman kuat sebelum mendapati pokok pulai berkenaan tumbang melintang jalan.

Katanya, sebuah jengkaut yang kebetulan melalui lokasi kejadian digunakan untuk mengalihkan pokok itu sebelum mangsa ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas jalan.

“Selepas pokok dialihkan, saya terkejut melihat seorang lelaki terbaring.

“Saya percaya mangsa sudah meninggal dunia sebelum meminta orang ramai menghubungi talian kecemasan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Aziz memberitahu, keadaan akar pokok yang sudah uzur dipercayai menjadi punca ia tumbang ketika ribut, malah pokok itu dianggarkan berusia lebih 200 tahun.

Sementara itu, anak saudara mangsa yang dikenali sebagai Bella, 30, berkata, bapa saudaranya yang bekerja di sebuah kedai buku di Pengkalan Chepa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Pantai Senok, Bachok selepas tamat waktu bekerja.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian untuk dibedah siasat.

Terdahulu, pada 2 Julai lalu apabila seorang remaja, Nik Mohd. Haikal Abdul Rahim, 17, maut selepas motosikal yang ditunggangnya dihempap pokok kelapa tumbang di Kampung Permatang Pasir, Gunong, Bachok.

Mangsa meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN