PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, berkenan memandu uji Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Stesen Keretapi Kuala Lumpur ke Rawang hari ini.
Menurut hantaran rasmi di Facebook Istana Johor, Seri Paduka Baginda tiba di stesen keretapi pada pukul 9.15 pagi sebelum memasuki kokpit ETS2 untuk memulakan perjalanan.
Baginda berkenan menerima taklimat pemanduan daripada Kapten Roslan, Kapten Hairul Yani dan Kapten Syukri Ghazali, di samping Ketua Kawalan Operasi KTMB, Sadun Abdullah, serta Inspektor Lokomotif, Kamal Asmawi.
“Perjalanan pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke Rawang mengambil masa kira-kira sejam,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim sebelum ini mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records apabila menjadi Sultan pertama yang memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi Kelas 26 pada tahun 2010.
Baginda juga pernah memandu kereta api sempena program Kembara Mahkota Johor (KMJ 2010), di mana baginda berjaya menjalani prosedur turn table untuk memusingkan lokomotif seberat 86 tan dalam masa 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan.
Sultan Ibrahim diiktiraf sebagai Sultan pertama yang memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari dalam program tersebut, menampilkan kemahiran dan dedikasi baginda terhadap pengangkutan kereta api. – UTUSAN










