PETALING JAYA: Isu melibatkan integriti di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sememangnya berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun penyelesaiannya agak mencabar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM bersedia menjalinkan kerjasama strategik bersama AKPS khususnya dalam aspek operasi serta latihan membabitkan pegawai agensi tersebut.
Katanya, AKPS merupakan sebuah agensi baharu yang memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan negara.
“ SPRM bersedia memberikan bantuan sepenuhnya dalam memastikan matlamat bersama dicapai.
“Dengan kerjasama yang bakal dijalinkan ini, kita yakin urusan tertangguh dapat diselesaikan dengan lebih lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd. Zain di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Azam turut mencadangkan agar satu bentuk insentif diperkenalkan kepada pegawai AKPS yang bertugas di sempadan sebagai dorongan dan motivasi untuk menjalankan tugas dengan lebih bersemangat serta berintegriti.
“SPRM menyokong penuh cadangan ini kerana insentif mampu menjadi pemangkin semangat dan pada masa sama dapat mengekang sikap sambil lewa dalam kalangan petugas barisan hadapan di sempadan negara,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd. Shuhaily berkata, pertemuan ini menjadi platform penting untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan berkenaan langkah-langkah operasi, pencegahan rasuah serta usaha meningkatkan integriti dalam kalangan pegawai yang bertugas di kawasan sempadan negara. – UTUSAN










