KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan berhubung dengan Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi memperoleh maklumat berkaitan lima pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata lima pegawai yang ditahan itu terdiri daripada anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Katanya, mereka bertugas sebagai pegawai risikan berkaitan keselamatan serta pengumpulan maklumat, khususnya membabitkan isu penyeludupan.
“Kamo (SPRM) akan pergi kepada Mindef untuk mendapatkan banyak lagi maklumat terhadap mereka yang terlibat ini dan juga untuk mendapatkan beberapa laporan sulit daripada pihak Mindef.
“Kerjasama itu juga membabitkan semakan terhadap rekod kewangan lima pegawai terbabit sebagai sebahagian daripada prosedur siasatan yang dijalankan SPRM,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM (RTD) Tahun 2025 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Norhaizam Muhammad dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan.
Mengulas lanjut, Azam berkata, kerjasama SPRM dan Mindef ini adalah sebahagian daripada pendekatan SPRM untuk melangkaui siasatan konvensional.
“Ia bukan sekadar membuktikan kesalahan rasuah tetapi turut memastikan pihak yang terlibat tidak dapat menikmati hasil haram yang diperoleh daripada kegiatan jenayah,” jelasnya.
Azam turut merakamkan penghargaan kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar yang memberikan kerjasama penuh, sekali gus memudahkan SPRM mendapatkan maklumat dan dokumen berkaitan siasatan.
Beliau menjelaskan, operasi ini dilaksanakan hasil risikan bersama beberapa pihak yang memberikan maklumat dan semua maklumat berkenaan sudah disahkan sebelum tindakan diambil.
“Siasatan juga tidak menolak kemungkinan membabitkan pihak lain yang masih bebas,” katanya.










