MELAKA: Taktik tiga tokan menjadikan sebuah unit kondominium mewah dan kereta sebagai stor dadah terbongkar, selepas kesemua mereka diberkas bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM4.16 juta, 13 Ogos lalu.
Suspek berusia 25 hingga 46 tahun itu diberkas dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang dan Melaka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas kenderaan dinaiki dua suspek di pekarangan kondominium di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan sebanyak 26.73 kilogram (kg) dadah ditemukan di dalamnya.
“Susulan itu pasukan membuat pemeriksaan di sebuah unit kondominium dan berjaya membongkar stor tempat penyimpanan dadah.
”Pelbagai jenis dadah ditemui termasuk 68.11kg ganja, 2.58kg bunga ganja, 42.23kg ketamin, 143 gram (g) syabu serta 810g pil Erimin 5,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.
Hussein berkata, serbuan kedua dilakukan di Ayer Molek dan seorang lelaki diberkas bersama-sama 18.25kg heroin base yang disorok dalam kereta dipandunya.
Beliau berkata, secara keseluruhan polis berjaya merampas 94.84kg ganja, 2.58kg bunga ganja, 42.23kg ketamin, 143g syabu, 810g pil Erimin 5 dan 18.25kg heroin base.
“Kesemua rampasan bernilai RM4,163,704 itu mampu merosakkan hampir 2.82 juta individu jika terlepas ke pasaran. Polis turut menyita sebuah Toyota Estima bernilai RM70,000 serta merampas dua lagi kenderaan iaitu sebuah Perodua Myvi dan sebuah lagi Toyota Estima.
“Hasil saringan awal mendapati hanya seorang suspek positif ganja dan semakan lanjut mendapati dua suspek masing-masing mempunyai dua rekod jenayah dan satu rekod dadah.
“Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga esok dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan,” katanya. – UTUSAN










