PETALING JAYA: Sabah Law Society (SLS) akan memantau prosiding inkues serta sebarang tindakan undang-undang susulan berhubung kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan di Sabah bagi memastikan tragedi ini membawa kepada pembaharuan dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk ancaman.
Beliau berkata, SLS juga menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan prosiding inkues dijalankan di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah bagi menyiasat punca kematian mangsa.
“Inkues adalah proses kehakiman bebas yang akan meneliti punca dan keadaan kematian, menentukan sama ada wujud unsur jenayah serta memastikan semua fakta relevan dibawa ke pengetahuan umum.
“Hasil inkues ini akan menjadi asas kepada AGC untuk memutuskan sama ada pendakwaan perlu dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Nazim berkata, keputusan untuk meneruskan atau tidak sesuatu pendakwaan bergantung sepenuhnya kepada dapatan inkues serta kekuatan bukti mengikut undang-undang, selaras dengan prinsip menjaga integriti proses keadilan.
“Perbuatan buli, sama ada secara fizikal, lisan, psikologi atau dalam talian, tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan, khususnya di sekolah.
“Malah, pindaan terbaharu Kanun Keseksaan (Seksyen 507B–G) merupakan langkah penting untuk memerangi perbuatan buli dengan menetapkan pelbagai bentuk perlakuan zalim sebagai jenayah serta mengenakan hukuman berat sekiranya ia mengakibatkan kecederaan, cubaan membunuh diri atau kematian,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pindaan undang-undang itu perlu diiringi penguatkuasaan konsisten, langkah pencegahan berkesan dan perubahan budaya institusi dalam menangani aduan.
“Melalui Jawatankuasa Kecil Pemerkasaan dan Perlindungan Komuniti, SLS komited bekerjasama dengan semua pihak di Sabah untuk mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih selamat.
“Keadilan mesti ditegakkan dan dilihat ditegakkan kerana jika anak-anak kita tidak selamat, tiada perkara lain yang lebih penting,” katanya.










