KUALA LUMPUR: Sistem telematik diperkenal dalam program keselamatan pandasafe oleh foodpanda Malaysia mampu membantu rider meningkatkan tabiat tunggangan serta keselamatan di jalan raya.
Teknologi itu membolehkan rider pemantauan corak pemanduan mereka melalui data terkini seperti kelajuan, brek mengejut dan kelakuan berisiko ketika menunggang.
Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Tan Ming Luk berkata, telematik merupakan antara komponen utama pandasafe yang menyasarkan pemerhatian terhadap tingkah laku jangka panjang dalam kalangan rider.
“Melalui telematik, rider boleh menilai gaya tunggangan mereka dan melakukan pembetulan agar lebih selamat di jalan raya,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran pandasafe, di ibu negara, hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di ibu pejabat foodpanda Malaysia, di sini, yang turut menyampaikan topi keledar keselamatan kepada rider yang menunggang dengan berhemah.
Tan berkata, sistem telematik juga mampu mengesan risiko kemalangan lebih awal, justeru membantu syarikat memberikan sokongan proaktif kepada rider yang memerlukan bimbingan.
“Ini bukan sekadar soal teknologi, tetapi bagaimana kita menggunakan teknologi untuk menjaga nyawa dan kebajikan rakan penghantar kami,” tambahnya.
Sistem telematik dijangka akan diguna secara berperingkat melibatkan ribuan rider aktif di seluruh negara bermula suku akhir tahun ini.
“Langkah keselamatan ini turut melengkapkan modul latihan lain seperti tunggangan defensif, pertolongan cemas serta pendidikan keselamatan sosial dan kewangan,” katanya.
Langkah itu menjadikan pandasafe sebagai inisiatif keselamatan gig paling menyeluruh pernah dilaksanakan dalam industri penghantaran makanan negara.
Inisiatif pandasafe dibentuk melalui kerjasama strategik bersama Allianz Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor, Hong Leong Bank dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membangunkan ekosistem keselamatan rider secara menyeluruh. – UTUSAN










