Sistem perolehan bidang ketenteraan negara perlu telus

Sistem perolehan bidang ketenteraan negara perlu telus

ANWAR Ibrahim ketika merasmikan Kilang Pembuatan Kenderaan Perisai Nasional di MILDEF International Technologies Sdn Bhd, Sendayan, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sistem perolehan melibatkan bidang ketenteraan negara perlu mempunyai sistem perolehan telus selain perlu melibatkan kerjasama pegawai-pegawai tertinggi ketenteraan selain pakar-pakar teknikal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara tidak ada satu sejarah yang sangat membanggakan daripada segi teori perolehan, bukan hanya bidang tentera, tetapi juga bidang-bidang lain.

Menurutnya, perolehan kadang-kadang menjadi satu ruang dan kesempatan untuk ejen, syarikat-syarikat mengambil dan mengaut keuntungan berlebihan melalui rasuah dan komisen.

“Kita ada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) di Langkawi. Apabila saya terima tabik hormat dari semua negara-negara dan pasukan Tentera Laut dunia yang menyertai di Langkawi, tahun yang pertama tahun 2023 saya rasa cukup tersinggung kerana sebagai negara yang mencatat pembangunan dan pertumbuhan yang membanggakan, perolehan kita sangat lemah walaupun belanja tinggi.

“Tetapi seperti mana yang kita tahu, baik kapal tempur pesisir (LCS) dan lain-lain, kapal tidak sampai, jadi bahan lucuan bertahun-tahun. Jadi saya nak bagi peringatan, dan saya ucap terima kasih kerana Datuk Seri Khaled (Nordin) dalam Mesyuarat Jemaah Menteri menegaskan hal yang sama, iaitu mesti ada sistem perolehan yang telus.

“Mesti ada kerjasama sepenuhnya daripada panglima-panglima kita dan pakar teknikal untuk meninggalkan kaedah dan cara bobrok yang lama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kilang Pembuatan Kenderaan Perisai Nasional di MILDEF International Technologies Sdn Bhd, Sendayan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengarah Urusan MILDEF International Technologies Sdn Bhd, Datuk Seri Mohd. Nizam Mohd. Kasa.

Perdana Menteri juga menyatakan kekecewaan mengenai tangkapan pegawai tentera yang terlibat dalam jenayah penyeludupan baru-baru ini.

” Paling akhir kita dengar tentang badan risikan. Walaupun masih terkawal dan Menteri dan Panglima bagi jaminan, saya terima baik tetapi negara seperti Malaysia tidak boleh mudah memaafkan badan risikan tentera terlibat dalam usaha penyeludupan dan pengkhianatan.

“Saya tidak boleh bayangkan orang yang dilatih bekerja dengan penuh semangat, kegigihan dan pengorbanan pertahankan negara boleh melakukan kecurangan seperti ini. Bukan bermakna orang lain boleh, tetapi sepatutnya badan pertahanan kita itu patut ke depan, menjadi contoh yang baik, yang boleh dibanggakan. Ini hal-hal yang kita harus hentikan,” katanya.

Sementara Anwar berkata, kerajaan memberikan komitmen dalam memperkukuh industri pertahanan tempatan dan kehadirannya dalam majlis hari ini adalah kerana keprihatinan terhadap usaha pembangunan kereta perisai tempatan, khususnya bagi misi ketenteraan Malaysia di Lebanon.

“Saya setuju hadir kerana saya ambil tahu, dan bila ada kapal perisai, tank yang diperoleh oleh pasukan kita untuk ke Lubnan ini menunjukkan kemampuan tempatan,” katanya.

Perdana Menteri juga memaklumkan terdapat perbincangan antara beliau dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto BAGI membuka ruang kepada kerjasama dua hala dalam sektor pertahanan di antara kedua-dua negara/

“Beliau agak senang supaya ada satu kerjasama, supaya Indonesia boleh memanfaatkan daripada pengeluaran MILDEF, di samping itu, kita juga kaji apa-apa yang boleh kita manfaatkan daripada pengeluaran Indonesia.

“Pengeluaran kita boleh di luar negara, tapi mesti terus dengan penyelidikan, mesti terus dengan tatakelola dan ketelusan yang baik, mesti hentikan amalan-amalan penyimpangan dan mesti beri mesej-mesej jelas bahawa fokus kita ialah untuk melahirkan, mengeluarkan kereta perisai yang terbaik, dengan kos yang terkawal,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN