PETALING JAYA: Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi utama mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) negara menerusi transformasi menyeluruh ruang sedia ada tanpa perlu menambah keluasan fizikal bangunan.
Langkah strategik berteraskan konsep ‘Agile by Design, Sustainable by Choice’ itu memberi fokus kepada pengoptimuman ruang bagi mewujudkan persekitaran yang lebih fleksibel, moden dan lestari demi memenuhi perubahan keperluan industri.
Pengarah Jualan dan Pemasaran KLCC, Tiffany Chung berkata, strategi yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu itu bertujuan memastikan fasiliti berkenaan kekal relevan serta berdaya saing dalam industri pusat konvensyen serantau yang semakin kompetitif.
“Memandangkan KLCC merupakan fasiliti sedia ada tanpa ruang untuk diperbesarkan, pihak kami mengambil pendekatan mencipta semula kawasan kurang digunakan kepada ruang baharu yang mempunyai nilai komersial lebih tinggi,” katanya dalam sesi lawatan media di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, antara penaiktarafan utama melibatkan Dewan Plenari berkapasiti 2,990 tempat duduk yang kini berwajah baharu sebagai lokasi persembahan bertaraf dunia bagi menyokong penganjuran konsert, produksi berskala besar, serta acara hibrid.
Dewan tersebut kini dilengkapi dengan sistem visual LED resolusi tinggi, sistem audio TORUS oleh Martin Audio, konfigurasi pentas yang fleksibel, serta kemudahan bilik persalinan artis dan tempat duduk penonton yang diperbaharui sepenuhnya.
“Selain itu, bekas ruang media dan cloakroom telah diubah menjadi kluster lima bilik mesyuarat yang saling bersambung, lengkap dengan kemudahan makanan dan minuman khusus, ruang rangkaian, serta booth kerja persendirian bagi menyokong persidangan berbilang sesi.
“Secara keseluruhan, sebanyak tujuh ruang baharu telah diwujudkan hasil pengoptimuman ini, termasuk dua bilik mesyuarat kompak dan pejabat urus setia yang memanfaatkan lorong perkhidmatan serta koridor belakang operasi,” katanya.
KLCC turut mentransformasikan ruang laluan pergerakan menjadi hab sosial yang dilengkapi lounge rangkaian, ruang kerja fleksibel dan konsep minuman bertemakan ‘food truck’ bagi membolehkan delegasi berinteraksi tanpa meninggalkan kawasan acara.
Malah, ruang kosong di bawah tangga berjaya ditukar menjadi bilik mesyuarat eksekutif yang menawarkan pencahayaan semula jadi dan balkoni peribadi menghadap Taman KLCC, sekali gus sesuai untuk mesyuarat lembaga pengarah atau bilik menunggu VIP.
Bagi ruang katering di dalam dewan pameran, ia direka semula menjadi ruang pelbagai guna dengan pembahagi mudah alih serta sistem audio visual bersepadu untuk kegunaan sidang media, bilik sesi pecahan, mahupun kafe dalam dewan.
Tiffany menambah, seluruh agenda transformasi berkenaan disepadukan dengan komitmen kelestarian KLCC selaku pusat konvensyen pertama di Malaysia yang menerima pensijilan ISO 20121 Event Sustainability Management System.
“Pencapaian kelestarian kami termasuk mengalihkan 100 peratus sisa makanan daripada tapak pelupusan, mencapai 79 peratus kadar kitar semula sisa, serta mengurangkan pelepasan gas rumah hijau Scope 1 dan Scope 2 sebanyak 32 peratus selaras sasaran NZCE 2025.
“Kami juga menggunakan 100 peratus bahan mesra alam dalam projek naik taraf ini, merekodkan 88 peratus perbelanjaan bekalan am menggunakan produk hijau, serta memperoleh 76 peratus bekalan makanan daripada sumber tempatan,” katanya. – UTUSAN










