KUALA TERENGGANU: Seorang wanita warga emas dari Kampung Serada di sini, mengabdikan diri selama 50 tahun mengangkat seni tenunan songket yang menjadi lambang kemegahan warisan Melayu.
Bagi Meriam Musa, 65, setiap benang emas dan perak yang disulam menjadi songket adalah lambang perjuangan, maruah dan warisan tidak boleh diganti.
Rutinnya setiap hari tekun duduk di pelantar tenunan, menenun benang demi benang hingga menjadi helaian songket bernilai tinggi, bukan sahaja dari sudut harga malah nilai budaya dan sejarahnya.
“Saya mula menenun sejak umur 10 tahun. Ketika itu saya belajar daripada arwah mak. Sampai sekarang saya masih buat sebab ini jiwa saya.
“Dulu saya menenun sebab nak tolong arwah suami menambah pendapatan keluarga. Saya gunakan kemahiran menenun yang ada, tidak sangka sehingga sekarang menjadi pendapatan kepada saya sekeluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Bagi pencinta warisan dan penggiat seni tekstil, songket bukan sekadar kain sebaliknya nadi budaya yang terus disanjung.
Di beberapa tempat, khususnya di Terengganu dan Kelantan, tenunan songket masih mendapat sambutan dan tampil dengan sentuhan moden hingga berjaya menarik perhatian pasaran antarabangsa.
Meriam merupakan ibu kepada 10 anak berkata, songket bukan sekadar kain biasa tetapi lambang kehalusan seni warisan Melayu kerana melibatkan proses rumit menenun benang emas sehingga sehelai mengambil masa dua hingga tiga bulan.
Katanya, harga songket tenun bermula dari RM1,000 hingga belasan ribu yang bergantung kepada jenis corak.
Mariam berkata, walaupun songket mendapat permintaan tinggi terutama menjelang musim perayaan atau majlis rasmi, bilangan penenun yang benar-benar mahir semakin menyusut.-UTUSAN










