Serang anak Rafizi: Polis mohon bantuan kesan warga asing

Serang anak Rafizi: Polis mohon bantuan kesan warga asing

KETUA Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail (tengah) mendengar penerangan daripada salah seorang pempamer dalam Siri Dialog Khas III PDRM di Pusat Konvesyen Sime Darby hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan bagi mengesan individu warga asing dipercayai pemilik nombor telefon yang menghantar mesej ugutan kepada isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya percaya individu terbabit dapat dikesan secepat mungkin. 

“Kita masih lagi memohon bantuan daripada pihak-pihak rakan (agensi berkaitan) dan saya percaya kita akan cuba dapat secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Siri Dialog Khas III PDRM dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Pusat Konvesyen Sime Darby, di sini hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan seorang individu dikaitkan terlibat dengan serangan membabitkan anak lelaki Ahli Parlimen Pandan itu, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan. 

“Ini (dakwaan) kita tidak dapat nak pastikan. Ia masih dalam siasatan,” katanya. 

Jumaat lalu, polis sudah mengenal pasti pemilik nombor telefon individu yang menghantar mesej ugutan kepada isteri Rafizi yang dikesan didaftarkan atas nama warga asing.

Ditanya sama ada polis sudah mengenal pasti jenis cecair disuntik dalam badan anak Rafizi, Mohd. Khalid berkata, pihaknya masih menunggu laporan kimia daripada hospital berkaitan perkara tersebut. 

Pada 13 Ogos lalu, anak Rafizi berusia 12 tahun itu diserang dua lelaki menunggang motosikal dengan disuntik cecair di sebuah pusat-beli di Putrajaya. 

Rafizi dalam kenyataan memaklumkan anaknya diserang dengan cara diheret dan disuntik dengan jarum suntikan di pusat beli-belah tersebut.

Menurutnya, serangan tersebut melibatkan dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×