KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan segera berhubung dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mendapatkan penjelasan berhubung insiden anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli diserang di sebuah pusat beli belah di Putrajaya, hari ini.
Johari berkata, insiden tersebut adalah di luar jangkaan, sekali gus mengundang kebimbangan dalam kalangan ahli Parlimen.
“Ini melibatkan keselamatan kita semua dan saya sendiri masih belum mendapat maklumat penuh tentang kejadian tersebut. Oleh itu, saya akan meminta Menteri Dalam Negeri memberikan penjelasan kepada saya dalam masa terdekat,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Johari membuat kenyataan tersebut susulan Wong Chen (PH-Subang) membangkitkan isu tersebut menerusi Peraturan Mesyuarat 14 (1).
“Jadi, kalau boleh saya minta budi bincara tuan speaker mengarahkan kalau boleh esok pagi, menteri yang berkenaan untuk hadir di Parlimen untuk memberi penerangan lanjut tentang perkara yang sangat tidak baik,” katanya.
Mohd. Rafizi mendedahkan, anak dan isterinya diserang oleh dua lelaki bermotosikal ketika meninggalkan sebuah pusat beli-belah.
Katanya, kejadian berlaku sekitar pukul 1.45 petang tadi dengan secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anaknya dan mencucuknya dengan jarum suntikan. – UTUSAN










