Lih Kang kecam serangan terhadap anak Rafizi, gesa tindakan segera

Lih Kang kecam serangan terhadap anak Rafizi, gesa tindakan segera

CHANG LIH KANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang mengecam serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang disifatkannya sebagai satu jenayah serius, terancang dan bersasar.

Beliau berkata, pihak polis perlu bertindak segera mengenal pasti penjenayah serta dalangnya serta mengheret mereka ke muka pengadilan secepat mungkin.

“Mengganggu atau menyerang keluarga ahli politik adalah perbuatan pengecut, apatah lagi melibatkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Rafizi mendedahkan anak dan isterinya diserang oleh dua orang lelaki bermotosikal ketika meninggalkan sebuah pusat beli-belah di sini.

Menurutnya, kejadian yang berlaku sekitar pukul 1.45 petang tadi, secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anaknya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.

Kata beliau, semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isterinya yang pada hematnya telah merancang serangan itu lebih awal.

Lih Kang yang juga Ahli Parlimen Tanjong Malim turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga Rafizi dan menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan keluarganya sendiri.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya sangat risau dengan keadaan negara kita. Saya menyeru ahli politik daripada semua parti untuk bersolidariti dan berdiri teguh bersama Rafizi dan keluarganya.

“Kita mesti bersama-sama menentang budaya jijik ini yang hanya akan merosakkan masa depan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN