KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memburu individu termasuk selebriti dan pempengaruh tanah air yang gagal memperbaharui cukai jalan kenderaan mewah milik mereka.
Ia susulan sebanyak 258 kereta mewah pelbagai jenama disita menerusi Op Luxury yang dilaksanakan di seluruh negara sejak 1 Julai lalu atas pelbagai kesalahan.
Daripada jumlah itu, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah sitaan tertinggi iaitu 93 buah.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, risikan mendapati beberapa selebriti dan pempengaruh termasuk dalam senarai pemilik kenderaan yang dipercayai telah tamat tempoh cukai jalan.
“Risikan dijalankan setakat ini mendapati kenderaan milik mereka tidak digunakan di jalan raya.
“Bagaimanapun, sekiranya kenderaan terbabit dikesan dipandu dalam keadaan tanpa cukai jalan yang sah maka tindakan tegas akan diambil,” katanya dalam sidang akhbar di Depoh Sita JPJ Kuala Lumpur di sini, semalam.
Kata Muhammad Kifli, pemantauan terhadap golonga itu bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak.
“Perlu diingat bahawa JPJ bukan mahu mencari salah, namun mahu setiap individu mematuhi peraturan ditetapkan. Menjadi kewajipan untuk patuh terhadap peraturan undang-undang adalah sama untuk semua, tiada pengecualian,” katanya.
Statistik turut merekodkan Kuala Lumpur mencatatkan bilangan tertinggi kereta yang disita iaitu 93 buah diikuti Selangor (61), Pulau Pinang (28), Sarawak (16), Kelantan (15) serta lain-lain.
Muhammad Kifli berkata, siri terbaharu operasi dari 7 hingga 9 Ogos lalu menyaksikan 104 kenderaan ditahan, melibatkan pemilik warga tempatan dan warga asing.
“Antara kesalahan dikesan termasuk tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada perlindungan insurans, lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen sah, mempamerkan nombor pendaftaran belum berdaftar serta pelbagai kesalahan teknikal lain,” katanya. – UTUSAN










