BUKIT MERTAJAM: Seorang bakal guru, Muhammad Syahmi Azril Saidijamal, 18, mahu membalas jasa semua pihak yang membantunya terutama ibu bapa yang banyak berkorban sehingga dia dapat melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun di sini, semalam.
Dia yang menyimpan impian besar untuk mengubah nasib keluarganya itu berkata, segala urusan pendaftaran pengajiannya itu berjalan lancar meskipun cuaca kurang baik sejak awal pagi.
“Malam tadi (kelmarin) memang saya tidak dapat tidur dengan nyenyak. Teruja ada, gementar pun ada. Alhamdulillah, semua sudah selesai,” katanya ketika ditemui selepas sesi pendaftaran di IPG tersebut semalam.
Muhammad Syahmi berkata, selain ibu, bapa serta dua adiknya, dia turut ditemani oleh hampir 15 ahli keluarganya yang lain ketika sesi pendaftaran ke IPG berkenaan.
“Saya nampak dan tahu keperitan ayah, ibu serta ahli keluarga yang lain sebelum datang ke sini. Mereka banyak berkorban untuk saya termasuk sanggup menyewa kereta dan sebagainya semata-mata untuk melihat impian saya tercapai.
“Insya-Allah, saya tidak akan kecewakan mereka dan semua yang menyokong saya. Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh di sini (IPG) dan membalas balik jasa mereka semua.
“Terima kasih juga kepada Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek), rakan-rakan dan cikgu sekolah serta seluruh rakyat Malaysia. Sumbangan bantuan dan doa yang diberi sangat saya hargai,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.
Pada 26 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan mengenai keluhan pelajar itu di kampung halamannya di Sik, Kedah bahawa keluarganya tidak mampu menyediakan wang untuk yuran pengajian jika dia menyambung pelajaran ke IPG tersebut.
Bapanya, Saidijamal Abu Said, 43, hanya melakukan kerja-kerja kampung termasuk menoreh getah dan perlu menanggung dua lagi adik yang masih bersekolah manakala ibunya, Nor Azlinda
Ahmad, 38, pula tidak bekerja dan mengidap penyakit kanser payudara tahap empat sejak lebih setahun lalu.
Kisah remaja itu mendapat perhatian Fadhlina yang mengarahkan agar pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 itu dibantu bagi melanjutkan pelajaran. – UTUSAN










