PETALING JAYA: Pelakon, Fasha Sandha, 41, memaklumkan dia tidak terasa hati sekiranya ada dalam kalangan generasi sekarang yang tidak mengenalinya.
Malah, bagi pelakon itu, keadaan tersebut normal dan tidak perlu diperbesarkan.
“Saya tidak ada masalah kalau tidak dikenali. Lagi pun zaman sekarang ini sudah berbeza.
“Lagi pula, saya ini bukan popular sangat. Normallah kalau ada yang tak kenal.
“Mungkin orang itu tidak pernah tengok lakonan saya atau tak kenal sebab penampilan saya sudah berubah.
“Apa pun saya tidak terasa hati malah perkara itu pada saya melucukan,” katanya sempena pelancaran cawangan Kopi Saigon miliknya di kompleks beli belah MyTOWN, baru-baru ini.
Fasha dalam masa yang sama memaklumkan sedang memperlahankan karier lakonannya untuk memberi tumpuan kepada perniagaan.
“Banyak tawaran berlakon drama yang saya terima tapi saya masih lagi meneliti skrip dan sinopsisnya.
“Cuma buat masa ini saya juga terpaksa perlahankan sedikit kerja lakonan untuk uruskan perniagaan Kopi Saigon ini,” kongsinya. – UTUSAN