KUALA TERENGGANU: Seorang ejen hartanah berusia lingkungan 50-an ditahan reman empat hari selepas dipercayai memalsukan dokumen tuntutan kerja ubah suai rumah kira-kira RM16,000.
Perintah tahan reman sehingga 29 Ogos itu dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu membuat permohonan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
Suspek ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu. Sumber memaklumkan, helah suspek dikesan apabila dia dipercayai mengemukakan sebut harga yang dipinda pada 2022 kepada pemilik rumah, sebelum turut menerima wang rasuah melalui akaun bank peribadinya.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN










