Malaysia mampu tangani ancaman susulan lantang perjuang nasib rakyat Palestin

PARLIMEN: Malaysia mampu tangani ancaman susulan lantang perjuang nasib rakyat Palestin

MOHAMAD ALAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia yakin mampu menangani sebarang ancaman atau ugutan ekoran pendiriannya yang lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, pendirian Malaysia berhubung isu Palestin adalah kukuh dan berasaskan prinsip kemanusiaan yang konsisten sejak sekian lama, bukannya semata-mata faktor agama atau negara Islam.

“Soal kemungkinan adanya ancaman atau ugutan terhadap kita apabila lantang memperjuangkan rakyat Palestin, saya yakin perkara itu boleh ditangani kerana pendirian kita kukuh serta berasas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pendirian ini bukan sesuatu yang baharu kerana kita konsisten memperjuangkan rakyat Palestin di pentas antarabangsa. Ia bukan hanya soal agama, tetapi isu kemanusiaan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) mengenai sama ada pendirian pro-Palestin kerajaan boleh mengakibatkan Malaysia dipulaukan negara lain dari aspek ekonomi.

Menurut Mohamad, sokongan antarabangsa yang kukuh terhadap Malaysia dapat dilihat melalui pelbagai platform termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan ASEAN sekali gus memperkukuh suara negara dalam membela Palestin.

Beliau berkata, konflik berterusan di Palestin telah meragut lebih 60,000 nyawa dan mencederakan hampir 150,000 yang lain selain menjejaskan kestabilan serantau melibatkan negara seperti Lubnan, Iran dan Syria.

“Ketidaktentuan di Asia Barat bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan serantau dan global, malah turut menimbulkan implikasi terhadap kepentingan Malaysia dari segi ekonomi, perdagangan, tenaga dan keselamatan rakyat kita di rantau berkenaan,” katanya.

Mohamad berkata, dasar luar Malaysia terhadap Asia Barat kekal menyeluruh, berprinsip serta pragmatik dengan menekankan pendekatan diplomatik bersama negara berkepentingan seperti Jordan, Mesir, Turkiye dan Qatar bagi mencari penyelesaian damai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini