BAITULMAQDIS: Israel didakwa menyeksa dan melakukan penderaan terhadap tahanan Palestin sejak permulaan perang di Gaza dengan menggunakan pelbagai kaedah termasuk kekerasan melampau dan penderaan seksual.
Ia hasil laporan kumpulan hak asasi Israel, B’Tselem yang mendedahkan hasil temubual dengan 55 rakyat Palestin dari Gaza dan Tebing Barat dan yang telah ditahan di penjara Israel sejak 7 Oktober 2023 dengan kebanyakan daripada mereka mereka tidak dihadapkan ke muka pengadilan.
“Hasil temubual dengan jelas menunjukkan Israel menggunakan pendekatan sistematik untuk mendera dan menyeksa tahanan Palestin secara berterusan,” dedah laporan tersebut.
Laporan itu dikeluarkan beberapa hari selepas tentera Israel menahan sembilan anggota tenteranya yang didakwa melakukan penderaan terhadap seorang tahanan di sebuah kem tentera di padang pasir Negev.
Menurut laporan akhbar Israel, anggota tentera tersebut dituduh melakukan penderaan seksual terhadap seorang anggota unit elit Hamas.
Dalam pada itu, B’Tselem mendedahkan, sepanjang dalam tahanan, rakyat Palestin dipukul teruk, dimalukan, tidak dibenarkan tidur dan mengalami penderaan seksual berulang sehingga mengakibatkan kecederaan parah.
“Penyeksaan ini dilakukan di bawah arahan yang jelas bertentangan dengan undang-undang domestik dan antarabangsa,” kata laporan tersebut seperti dipetik laman web al-Arabiya.
B’Tselem menjelaskan, layanan buruk terhadap tahanan Palestin itu diarahkan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir. – AGENSI










